Kaji semula pemeriksaan imigresen di terminal feri Labuan, Menumbok - PKR
Bernama
Disember 4, 2022 18:43 MYT
Disember 4, 2022 18:43 MYT
LABUAN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah dan Labuan merayu Kementerian Dalam Negeri agar mengkaji semula langkah pemeriksaan imigresen yang baru dikuatkuasakan di terminal feri Labuan dan Menumbok.
Mereka mendakwa pemeriksaan imigresen itu melambatkan proses kemasukan penumpang ke feri sekali gus boleh menjejaskan kedatangan pelancong ke pulau bebas cukai itu dari Sabah.
Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah Simsudin Sidek berkata pemeriksaan imigresen di kedua-dua terminal itu menyebabkan pelancong beratur panjang dan menyusahkan terutama kepada warga emas serta ibu bapa yang mempunyai anak kecil.
"Kami berharap Menteri Dalam Negeri yang baharu Datuk Seri Saifuddin Nasution akan melihat perkara ini secara serius demi kepentingan integrasi nasional dan kami bersedia berbincang mengenai isu ini dengan beliau.
"Kenapa perlu ada kawalan yang ketat kepada pelancong tempatan untuk masuk dan keluar Labuan ke Sabah sedangkan kebanyakan pengguna feri adalah rakyat Sabah," katanya kepada Bernama hari ini.
Simsudin, yang juga ketua bahagian PKR Labuan, berkata pulau bebas cukai itu terkenal sebagai hab minyak dan gas dengan pekerja di sektor itu rata-rata dari Sabah dan Sarawak.
"Ia menyusahkan penumpang yang terpaksa beratur hampir sejam untuk pemeriksaan imigresen, sepatutnya ada aliran bebas untuk rakyat Sabah di Labuan yang ingin keluar dan masuk pulau ini," katanya.
Beliau juga berkata pemeriksaan pandu lalu imigresen yang akan dilaksanakan di feri ro-ro Labuan tidak sesuai kerana ruang terhad di bangunan terminal dan jalan sempit menuju ke feri.
Kementerian Dalam Negeri pada 10 Sept lepas mengarahkan Jabatan Imigresen menguatkuasakan kawalan yang ketat di dua terminal di Labuan, terutama bagi pelancong bukan rakyat Sabah yang menuju ke tanah besar Sabah.
Bekas Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kawalan ketat itu bagi memastikan tidak akan ada aliran bebas pelancong di pintu utama terminal feri ke Sabah melalui jeti Tanjung Pagar Sipitang, Menumbok dan Jesselton.
Menurut Hamzah pemeriksaan imigresen di terminal itu atas permintaan kerajaan Sabah berikutan terdapat isu penyalahgunaan dasar aliran bebas di terminal yang menyebabkan kemasukan ke negeri itu tidak terkawal.
Pemeriksaan imigresen yang ketat di terminal itu bermula 1 Nov lepas, mencetuskan kemarahan dalam kalangan pelancong yang berulang-alik menggunakan perkhidmatan feri ke Sabah, mendakwa dasar baharu itu telah membebankan pelancong dan penumpang.
--BERNAMA
TAG: Imigresen, Labuan, terminal Menumbok, pemeriksaan