Kaji semula Pangkor sebagai pulau bebas cukai - MB Perak
Abd Razak Mohd Ali
Julai 13, 2018 06:30 MYT
Julai 13, 2018 06:30 MYT
Cadangan untuk menjadikan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai perlu dikaji semula sebelum memutuskan sama ada ia akan dilaksanakan atau tidak.
Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata, pengumuman yang dibuat kerajaan terdahulu didapati tidak meliputi semua barangan.
Bagaimanapun, katanya, keputusan muktamad akan dibuat oleh kerajaan persekutuan.
"Apa yang saya nampak, bebas cukai yang diumumkan sebelum ini tidak meliputi semua barangan dan kita akan mengkaji semula perkara ini.
"Akhirnya, keputusan itu terletak kepada kerajaan pusat, dan kita kerajaan negeri alu-alukan apa sahaja keputusan yang mementingkan pertumbuhan di Pulau Pangkor itu sendiri," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Sambutan Aidilfitri Pangkalan TLDM Lumut, di sini, pada Jumaat.
Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri akan menyokong penuh apa sahaja usaha untuk membolehkan Pulau Pangkor menarik lebih ramai pelancong.
"Kita mahu Pulau Pangkor terus dikenali antara pulau peranginan utama negara, bukan sahaja dalam kalangan pelancong tempatan malah antarabangsa juga.
"Ini kerana tarikan pelancong luar negara ke Pulau Pangkor agak kurang, berbanding kunjungan mereka ke Pulau Pinang dan Pulau Langkawi," katanya.
Sebelum ini kerajaan persekutuan yang lalu mengumumkan Pangkor sebagai pulau bebas cukai dalam Bajet 2018, namun selepas kerajaan beralih pimpinan, statusnya masih belum diketuai.
#Ahmad Faizal Azumu
#Bajet 2018
#bebas cukai
#kerajaan negeri
#kerajaan Persekutuan
#pelancongan
#Perak
#Pulau Pangkor