'Kaji semula larangan tutup kedai makan waktu solat Terawih di Kelantan'

Muhafandi Muhamad
Mei 7, 2019 22:07 MYT
Mohd Alwi berpendapat, arahan melarang aktiviti jual beli sebaiknya hanya dilaksanakan pada waktu Zohor hari Jumaat. - Gambar fail
Datuk Mohd Alwi Che Ahmad hari ini meminta kerajaan negeri Pas Kelantan mengkaji semula arahan melarang operasi perniagaan pada waktu solat sunat Terawih yang dikeluarkan melalui satu surat arahan pada 6 Mei.
Hujahnya, solat Terawih merupakan amalan sunat yang tidak diwajibkan dalam Islam sementara arahan menutup kedai kedai makan adalah sesuatu yang kurang wajar.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan itu berpendapat, arahan melarang aktiviti jual beli sebaiknya hanya dilaksanakan pada waktu Zohor hari Jumaat.
Ia sejajar dengan ayat Al-Quran yang menyatakan Allah meminta umat manusia bergegas bertebaran mencari rezeki sebaik selesai menunaikan solat Jumaat, katanya.
“Jika diambil contoh, hatta di Mekah dan Madinah dan Baitulmaqdis - iaitu tiga masjid tertinggi umat Islam seluruh dunia - juga tiada larangan sedemikian pada waktu solat Terawih atau qiyamullail.
"Malah, suasana lebih meriah di waktu malam berbanding siang, di sana,” katanya dalam satu kenyataan mengulas mengenai surat yang dikeluarkan Setiausaha Kerajaan negeri melalui satu notis pada 6 \Mei 2019 dan berkuat kuasa serta-merta.
Notis yang ditandatangani oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Adnan Hussin itu juga mengarahkan agar semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengeluarkan arahan kepada pengusaha kedai makan dan restoran di kawasan masing-masing.
Surat yang menjadi tular di laman sosial sejak Isnin itu, antara lain, memaklumkan semua pengusaha kedai makan dan restoran diarah menutup atau menghentikan sementara operasi dari jam 8.30 malam hingga 10 malam sepanjang bulan Ramadan.
Arahan tersebut adalah bagi menghormati bulan Ramadan dan menggalakkan umat Islam menunaikan sembahyang sunat Terawih secara berjemaah di masjid atau surau.
Mohd Alwi yang juga Ahli DUN (ADUN) Barisan Nasional (BN) Kok Lanas menjelaskan, larangan tersebut, walaupun bertujuan mendidik rakyat Kelantan menunaikan solat Terawih, namun tidak wajar dilaksanakan.
Turut sependapat, Setiausaha Agong UMNO Tan Sri Annuar Musa juga menyifatkan arahan itu tidak perlu dilaksanakan dan patut dikaji semula.
Katanya, ia bukan saja menimbulkan kerumitan dan masalah kepada para peniaga tetapi juga tidak mempunyai asas yang kukuh.
“Ibadat Terawih adalah sunat dan tidak semestinya dilakukan antara pukul 8.30 dan 10 malam, manakala pada masa sama, keperluan untuk makan di sebelah malam pula berbagai-bagai mengikut keselesaan masing masing,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menaruh keyakinan pihak pentadbiran kerajaan negeri Kelantan bersedia mengkaji semula perkara tersebut.
#Annuar Musa #Barisan Nasional #Islam #Kelantan #kerajaan #Mohd Alwi Che Ahmad #PAS #pembangkang #peniaga #Ramadan #solat sunat #solat terawih #UMNO
;