Kaji semula insurans untuk anak-anak Sindrom Down
Malissa Sahari
Mac 24, 2018 07:31 MYT
Mac 24, 2018 07:31 MYT
"Sindrom Down bukannya penyakit, mereka juga sama seperti kanak kanak lain, ada batuk ada demam,".
Itu luahan Norhana Abu Bakar, 62 tahun ibu kepada seorang anak Sindrom Down yang kini sudah berusia 21 tahun.
Apa yang membimbangkan hati seorang ibu yang mempunyai anak Sindrom Down adalah ketiadaan syarikat atau agensi insurans yang sanggup menyediakan insurans khusus kepada anak-anak sindrom Down.
"Saya pun pelik kenapa tak ada syarikat atau agensi yang mahu berbuat demikian. Zaman sekarang banyak kemudahan perubatan ditambah baik selain bantuan sokongan yang tersedia di hospital kerajaan mahupun swasta.
"Pada awal 80-an, purata jangka hayat anak Sindrom Down hanya 25 tahun tetapi bila masuk tahun 90-an purata itu meningkat kepada 49 tahun dan semakin meningkat ke angka 60 tahun bagi 2015.
"Tetapi tiada insurans khusus untuk Sindrom Down," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini.
Jelas Norhana yang kini menjadi sukarelawan di Persatuan Sindrom Down Malaysia, sebagai Ketua Biro Pendidikan dan ahli jawatankuasa PSDM, statistik serta data itu perlu diambil maklum dan tidak dipandang remeh.
Ujarnya lagi, apa jua kekurangan yang ada pada anak Sindrom Down, ia hanya disebabkan kondisi sebegitu selain berharap agar masyarakat tidak skeptikal terhadap golongan tersebut.
Hal sama turut diakui Presiden Persatuan Sindrom Down Malaysia, Hanizan Hussin.
Beliau menyifatkan sepanjang bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, isu insurans melibatkan anak-anak sindrom Down masih belum diselesaikan.
Hanizan sedia maklum bantuan kemudahan hanya dan sudah disediakan bagi OKU, cuma ia hanya mudah diaplikasi kepada OKU seperti buta dan bisu sahaja.
Sementara itu, Hanizan bersama NGO yang lain masih memperjuangkan hak-hak yang wajib diperoleh anak anak sindrom Down menerusi KPKWKM, Kementerian Sumber Manusia selain Akta Kanak Kanak.
Menurutnya, Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat juga tidak memperoleh jumlah sebenar anak-anak sindrom Down, autisme dan celebral palsy.
#anak
#Autisme
#celebral palsy
#Hanizan Hussin
#Kementerian Pembangunan Keluarga Wanita dan Masyarakat
#Norhana Abu Bakar
#OKU
#Persatuan Sindrom Down Malaysia
#Sindrom Down