Kaji Selidik Suara Rakyat: ILHAM Centre fokus eksplorasi kehendak Melayu Muslim
Sinar Harian
September 19, 2022 09:00 MYT
September 19, 2022 09:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kolaborasi julung kali tiga firma kajian bersama lima organisasi media utama negara menjalankan Kaji Selidik Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15 satu titik mula yang baik dalam berkongsi input dan dapatan kajian tentang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Hisommudin Bakar berkata, pihaknya amat berbesar hati berpeluang terlibat secara langsung dalam kolaborasi berkenaan yang bakal mencungkil kehendak dan harapan sebenar pengundi untuk PRU15 kelak.
“Ini pertama kali kami dilibatkan dalam projek seumpama ini dan kali pertama juga dalam sejarah tiga firma kajian bekerjasama secara langsung dengan pihak media.
"Berbeza dengan sebelum ini di mana banyak kajian dilakukan secara bersendirian antara firma-firma kajian,” kata Hisommudin kepada Sinar Premium pada Ahad.
ILHAM Centre, O2 Research dan Centre for Malaysian Chinese Studies bekerjasama dengan lima organisasi media iaitu Sinar Harian, Sin Chew Daily, The Star, Astro AWANI dan Malaysia Nanban dalam menjalankan Kaji Selidik Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15 yang bermula pada 19 September hingga 9 Oktober depan.
Kolaborasi media pelbagai bahasa, platform dan fokus pembaca ini adalah inisiatif untuk meninjau pendapat rakyat Malaysia mengenai pilihan raya umum yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Menurut Hisommudin lagi, tiga firma kajian yang terlibat mempunyai segmen tertentu yang menjadi fokus utama dalam kaji selidik berkenaan.
“Kami di ILHAM Centre diberi tugasan menelusuri dan membuat eksplorasi khususnya terhadap segmen pengundi Melayu Muslim. Apa yang mereka mahukan berkenaan politik dan masa depan Malaysia yang lebih baik.
“Begitu juga O2 Research dan Malaysian Chinese Studies mempunyai segmen mereka tersendiri.
“Segmen-segmen ini adalah spesifik serta lebih mendalam, dan jika kesemuanya digabung jalin dan dihebahkan menerusi lima organisasi media terbabit, pasti akan memberi impak terbaik terutama membangkitkan kesedaran pengundi dalam memainkan peranan dan menunaikan hak mereka dalam proses demokrasi negara,” katanya lagi.
Jelas beliau, ILHAM Centre mengekalkan metodologi konvensional dalam menjalankan Kaji Selidik Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15 iaitu menggunakan borang kaji selidik dan kaji selidik secara bersemuka dengan responden.
“Ada firma kajian yang menggunakan metodologi hibrid dan sepenuhnya atas talian namun kami di ILHAM Centre kekal menggunakan kaedah kajian secara bersemuka di lapangan dan sampel kaji selidik ini bakal diambil di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Kami menyasarkan sekitar 1,500 ke 1,800 sampel di seluruh Malaysia untuk mewakili bacaan dan membuat bacaan tepat,” katanya sambil menambah pembentangan hasil dapatan kaji selidik dijangka selesai pada 15 Oktober depan.
Berhubung set soalan yang bakal diajukan dalam kaji selidik, Hisommudin berkata, secara umumnya ketiga-tiga firma kajian berkongsi set soalan yang sama selain beberapa segmen khusus atau niche yang menjadi fokus masing-masing.
“Objektif kaji selidik ini adalah untuk kita melihat dan mencungkil apa yang sebenarnya berada dalam sentimen serta kehendak sebenar pengundi terhadap ahli politik, parti politik, sistem negara,sistem ekonomi.
"Apa isu yang perlu diselesaikan, perlu dijadikan polisi dan dasar bagi melunaskan kehendak mereka itu.
“Untuk dapatan kaji selidik ini, kita berharap dapat membuat satu kesimpulan dan rumusan tentang intipati sebenar yang dikehendaki rakyat dan agar kerajaan akan datang menumpukan terhadap segmen itu supaya semua harapan rakyat dapat ditunaikan,” katanya.
#Kaji Selidik Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15
#tarikh PRU15
#Politik Malaysia
#Kolaborasi lima media