Kaji selidik: Rakyat Britain paling bimbang serangan pengganas, Malaysia pula bagaimana?
Astro Awani
Januari 9, 2018 09:13 MYT
Januari 9, 2018 09:13 MYT
SEBUAH kaji selidik menunjukkan rakyat Britain paling bimbang dengan serangan pengganas di tanah air sendiri, dengan lebih daripada enam dalam 10 orang responden khuatir kejadian besar bakal berlaku pada 2018.
Agensi kaji selidik Ipsos MORI, yang bertindak sebagai penasihat global bagi ramalan pelbagai peristiwa mendapati, hampir dua per tiga (65 peratus) responden di Britain takut berlaku serangan pengganas pada tahun ini.
Peratusan itu paling tinggi berbanding 60 peratus di Turki, 53 peratus di Perancis, 51 peratus di Jerman dan Amerika Syarikat (AS).
Daripada 28 negara yang dijalankan kaji selidik itu, rakyat China paling ‘kurang peduli’ tentang risiko serangan pengganas, dengan hanya 15 peratus bimbang insiden keganasan boleh berlaku.
Di Argentina, hanya 13 peratus resah dengan kemungkinan serangan, manakala Serbia menerima 11 peratus maklum balas kebimbangan terhadap kejadian seumpamanya.
Sementara itu, Malaysia berada di tengah-tengah senarai tersebut dengan 27 peratus responden menyatakan kebimbangan tentang serangan pengganas.
Perang AS-Korea Utara
Dalam isu lain, kaji selidik tersebut yang melibatkan responden seramai 21,548 orang dewasa di seluruh dunia, juga mendedahkan bahawa empat daripada 10 rakyat British beranggapan peperangan antara Korea Utara dan AS bakal berlaku.
Sentimen yang sama turut dirasai di AS, Turki dan Colombia dengan peratusan yang dicatatkan adalah 47, 49 dan 55 peratus masing-masing.
Responden Malaysia turut berkongsi pendapat yang sama apabila 48 peratus percaya peperangan antara dua negara kuasa nuklear itu bakal berlaku.
Kuasa ekonomi China
Dalam kajian itu, kebanyakan negara percaya bahawa China akan muncul sebagai kuasa ekonomi terbesar dunia.
Turut berada di kelompok teratas yang bersetuju dengan pernyataan itu adalah Serbia dengan 77 peratus, manakala Malaysia, Afrika Selatan dan Turki masing-masing dengan 71 peratus, diikuti Chile (70 peratus) dan Rusia (69 peratus).
Korea Selatan dan Jepun bagaimanapun, menjadi dua negara yang paling skeptikal mengenainya, dengan hanya 37 peratus dan 25 peratus bersetuju tentang prospek China sebagai kuasa besar ekonomi pada masa depan.
Optimis
Meskipun terdapat kebimbangan yang tersebar tentang keganasan dan peperangan, rakyat di kebanyakan negara secara amnya optimis bahawa kehidupan peribadi mereka akan lebih baik tahun ini.
Sejumlah 76 peratus responden bersetuju dengan pernyataan: “Saya optimis bahawa 2018 akan menjadi tahun yang lebih baik untuk saya berbanding 2017.”
Daripada jumlah responden Malaysia yang mengikuti kaji selidik itu, berikut adalah beberapa keputusan yang diperoleh berdasarkan pernyataan dan peristiwa berbeza:
- 51 peratus responden Malaysia percaya bahawa pengaruh Rusia ke atas hal ehwal dunia bakal meningkat.
- 40 peratus responden Malaysia percaya bahawa Presiden AS Donald Trump bakal berdepan proses pendakwaan.
- 51 peratus responden Malaysia percaya bahawa pasaran saham utama dunia akan terjejas.
- 81 peratus responden Malaysia percaya bahawa suhu purata global akan meningkat.
- 13 peratus responden Malaysia percaya bahawa Bumi akan didatangi makhluk asing pada tahun ini.