Kaji Selidik PRU15: Firma O2 sasar lebih 10,000 responden

Sinar Harian
September 19, 2022 10:00 MYT
Anis Anwar (gambar) berkata, O2 memilih pendekatan atau metadologi kajian secara dalam talian bagi mengumpul data. -Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Firma penyelidikan, O2 Research Malaysia (O2), menyasarkan lebih 10,000 responden berusia 18 tahun ke atas mewakili pelbagai lapisan masyarakat dan kaum akan menyertai Kaji Selidik Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15 yang dilaksanakan selama tiga minggu bermula 19 September hingga 9 Oktober 2022 ini.
Ketua Penyelidiknya, Anis Anwar Suhaimi berkata, O2 memilih pendekatan atau metadologi kajian secara dalam talian bagi mengumpul data kerana fakta menunjukkan kadar capaian internet di Malaysia hingga 2021 telah mencecah sehingga 98.6 peratus atau hampir keseluruhan rakyat negara ini mempunyai akses bagi menjawab soal selidik berkenaan.
Anis Anwar berkata pihaknya berharap semua responden terdiri daripada pembaca pelbagai etnik utama di seluruh negara termasuk pengundi di luar negara akan memberi respons penuh dan menjawab soalan dikemukakan secara sah dan jujur.
Soal selidik ini juga dijangka menawarkan sentimen awam rakyat bukan sahaja tahap sokongan kepada parti bertanding, tetapi perkara yang menjadi keutamaan dan faktor pengundian yang melibatkan imej parti, personaliti calon dan isu semasa.
Pemilihan soalan yang dilakukan sememangnya mengambil kira faktor penting yang mempengaruhi corak sokongan pengundi kepada parti politik bertanding.
"Kajian soal selidik ini bertujuan mendapatkan respons daripada pembacaan umum. Sehubungan itu, dapatan yang diberikan oleh rakyat Malaysia ini wajar dikongsikan semula dengan pembaca.
"Melalui perkongsian ini, pembaca boleh menilai pendirian semasa yang diambil oleh rakyat Malaysia secara umumnya berkaitan dengan proses demokrasi dan hala tuju negara kini.
"Tinjauan pendapat seperti ini wajar dilaksanakan secara berkala. Ini bukan sahaja meningkatkan penglibatan rakyat dalam menentukan hala tuju negara, tetapi juga sebagai indikator dan kayu ukur terhadap pemimpin politik agar mengutamakan aspirasi dan suara rakyat khususnya dalam penggubalan dasar negara.
"Media sebenarnya dianggap sebagai cabang keempat kerajaan selepas eksekutif, perundangan dan kehakiman demi memastikan proses semak dan imbang serta amalan demokrasi berjalan dengan baik di Malaysia," katanya kepada Sinar Premium, pada Ahad.
Kajian julung kali dibuat itu turut disertai lima agensi media termasuk Sinar Harian, Astro AWANI, Sin Chew Daily, The Star, dan Malaysia Nanban dengan kerjasama dua firma penyelidikan terkemuka Malaysia lain iaitu ILHAM Centre dan Centre for Malaysian Chinese Studies.
Beliau berkata, hasil respons yang diberikan oleh pembaca berkenaan akan disaring terlebih dahulu agar jumlah persampelan mewakili demografi populasi rakyat Malaysia dari segi etnik, jantina, umur, kelas ekonomi dan wilayah bagi mendapatkan bacaan yang lebih tepat.
"Soalan yang dilontarkan juga dilaraskan dalam bahasa yang neutral agar pembaca tidak dipengaruhi dengan bias tertentu semasa menjawab.
"Langkah ini penting agar pembaca akan menjawab mengikut kepercayaan individu sendiri. Analisis data akan mengguna pakai analisis deskriptif bagi menyukat jumlah responden yang memilih satu-satu pilihan jawapan.
"Harapannya agar kaji selidik ini disertai oleh seramai mungkin pembaca media agar saiz persampelan lebih besar dan mewakili populasi rakyat Malaysia secara menyeluruh," katanya.
#PRU15 #Kaji Selidik Suara Rakyat Malaysia Menuju PRU15 #Kolaborasi media perdana #Politik Malaysia
;