Kaji selidik Monash: Pemimpin korporat Cina puas hati dengan PH

Firdaus Azil
September 11, 2019 04:58 MYT
Antara ruang yang boleh ditangani dengan lebih efisyen oleh PH ialah ketidakpuashatian penduduk di luar bandar, selain persepsi masyarakat India yang merasakan mereka telah diketepikan dalam soal pembangunan ekonomi negara. - Gambar fail
Kajian Universiti Monash Malaysia mendapati pemimpin korporat dari komuniti Cina paling positif dengan keadaan ekonomi di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Dalam kaji selidik yang melibatkan 390 responden terdiri daripada kalangan pemimpin korporat itu, 50 peratus pemimpin korporat Cina berpuas hati, diikuti pemimpin Melayu (39 peratus), dan pemimpin India (38 peratus).
“Walaupun PH berjaya melaksanakan tugasnya pada tahap berpuas hati pada tahun pertama pemerintahan mereka, namun pemimpin korporat merasakan masih banyak yang boleh dilakukan dalam tempoh 12 bulan akan datang,” menurut Kad Laporan Ekonomi Pemimpin Korporat dikeluarkan universiti tersebut.
Laporan itu membentangkan hasil kaji selidik yang dijalankan Universiti Monash Malaysia dan platform Global Asia in the 21st Century (GA21) yang turut melibatkan 52 sesi temu bual mendalam dengan pemimpin korporat bagi menilai pencapaian kerajaan PH sepanjang 12 bulan yang lalu.
Dalam pada itu, laporan itu turut menyebut hanya 32 peratus responden merasakan PH lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN) dalam isu berhubung kualiti pendidikan negara ini.
Selain itu, 36 peratus pemimpin korporat merasakan BN lebih efektif dalam menangani cabaran penyediaan infrastruktur untuk bandar yang sesuai didiami, manakala 31 peratus lagi merasakan kedua-duanya adalah serupa.
Laporan itu turut menyebut antara ruang yang boleh ditangani dengan lebih efisyen oleh PH ialah ketidakpuashatian penduduk di luar bandar, selain persepsi masyarakat India yang merasakan mereka telah diketepikan dalam soall pembangunan ekonomi negara.
21 peratus pemimpin korporat turut menyebut peluang pekerjaan adalah lebih rendah sejak pilihan raya umum ke-14.
#Barisan Nasional #business #Cina #economy #ekonomi #GA21 #kaji selidik #kerajaan #Melayu #monash university #Pakatan Harapan #pendidikan #pilihan raya #pilihan raya umum
;