Kaji selidik kesan AI terhadap tenaga kerja libat 10 sektor strategik - Sim

Bernama
September 29, 2024 23:31 MYT
Steven Sim berucap pada majlis sesi minum petang sempena NHCCE 2024 di MITEC hari ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Laporan kaji selidik mengenai kesan kecerdasan buatan (AI) terhadap pasaran tenaga kerja negara akan melibatkan 10 sektor strategik, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
Beliau berkata antara kandungan laporan telah disiapkan oleh kementeriannya itu ialah eolusi peranan dan kemahiran sebagai panduan untuk tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
"Kami berharap untuk menerbitkan laporan ini dalam masa terdekat dan bersedia untuk menggunakan kajian ini bagi menilai kesan AI terhadap penambahbaikan sektor-sektor tersebut," katanya dalam ucapannya di Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2024 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Sektor terlibat dalam laporan itu termasuk teknologi maklumat dan komunikasi, perkhidmatan perniagaan global, aeroangkasa, pembuatan dan perkhidmatan makanan, perdagangan borong dan runcit, elektronik dan kejuruteraan serta pembuatan farmaseutikal.
Laporan itu juga merangkumi peranti perubatan, tenaga, bahan kimia, kuasa, industri marin dan luar pesisir, pelancongan, hotel dan penginapan.
Pada 6 Sept lepas, Sim melaporkan bahawa kajian mengenai kesan AI, digitalisasi dan ekonomi hijau terhadap pasaran buruh dan tenaga kerja di negara ini akan dimuktamadkan pada penghujung bulan ini.
Mengulas mengenai NHCCE 2024, beliau berkata acara itu akan menjadi forum untuk mencambah pandangan,kepakaran dan strategi yang akan diperhalusi.
NHCCE 2024 dijangka menjadi platform perbincangan terbesar di Asia Tenggara, yang memfokuskan kepada peranan AI di tempat kerja serta implikasinya terhadap masa depan pekerjaan dan tenaga kerja.
Anjuran Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp), NHCCE 2024 yangakan berlangsung esok hingga Rabu ini di MITEC akan meneroka cara untuk menangani cabaran dan merebut peluang yang dibawa oleh AI kepada tenaga kerja dan bakat di rantau ini.
-- BERNAMA
#kecerdasan buatan #HRD Corp #pelancongan #NHCCE 2024
;