Kaji pendekatan Islam bagi perangi ekstremis agama - Dr Mahathir

Bernama
September 14, 2016 07:00 MYT
MAHATHIR: Kita (umat Islam) tidak boleh melupakan aspek pendidikan, tanpa ilmu pengetahuan ummah tidak akan dapat bersaing dengan negara-negara besar dunia. - Gambar fail
Umat Islam perlu mengkaji semula pendekatan mereka mengenai Islam terutamanya dari segi kesederhanaan bagi memerangi ekstremis agama, kata Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata mesej Islam sebenar harus diperjelaskan bagi menangani fahaman dan ideologi ekstremisme.
Selain itu, umat Islam perlu menitikberatkan ilmu pengetahuan dan bukannya menekankan kepada aspek keagamaan semata-mata kerana Islam tidak terhad kepada solat sahaja, katanya semasa merasmikan mesyuarat agung tahunan Perkim peringkat kebangsaan kali ke-55, di sini malam semalam.
"Kita (umat Islam) tidak boleh melupakan aspek pendidikan, tanpa ilmu pengetahuan ummah tidak akan dapat bersaing dengan negara-negara besar dunia.
"Tetapi malangnya pada hari ini orang Islam lebih gemar berperang sesama sendiri dan menggunakan keganasan. Ini bukan Islam sebenar," katanya.
Mesyuarat dua hari bermula hari ini dihadiri lebih 200 perwakilan Perkim di seluruh negara, dan pada majlis itu Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria dianugerahi Tokoh Pendakwah Unggul Perkim 2016 di atas usahanya mengembangkan ajaran Islam.
Turut hadir Setiausaha Agung Kehormat Perkim Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
#Dr Mahathir
;