Kaji naikkan kadar geran Rukun Tetangga kepada RM10,000
Bernama
Oktober 23, 2018 07:13 MYT
Oktober 23, 2018 07:13 MYT
Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) sedang mengkaji untuk menaikkan kadar geran tahunan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kepada RM10,000 berbanding RM6,000 sebelum ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik berkata pihaknya difahamkan terdapat KRT yang aktif dalam menganjurkan pelbagai program untuk penduduk setempat, namun menghadapi kekurangan dana sehingga terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri.
"Kita tahu peranan dan tanggungjawab KRT dalam usaha memastikan keselamatan masyarakat setempat adalah pengorbanan yang besar, jadi kita kena bantu mereka (KRT)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jom Ronda bersama Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kampung Guar Syed Alwi dekat sini, malam tadi.
Berikutan penambahan jumlah geran itu, beliau berkata pihaknya berharap KRT akan dapat mempergiatkan pelbagai aktiviti dengan lebih lancar sekali gus memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Katanya kerajaan sentiasa menghargai pengorbanan dilakukan lebih 8,000 KRT serta 5,000 anggota SRS di seluruh negara dalam usaha menjaga keselamatan bersama pihak berkuasa yang lain.
-- BERNAMA
#aktif
#Geran
#JPNIN
#keselamatan
#KRT
#kurang dana
#Masyarakat
#Md Farid Md Rafik
#Penduduk
#pengorbanan
#perbelanjaan
#Program
#Rukun Tetangga
#sukarela