Kaji kesesuaian wujud dasar tamat hayat kenderaan

Bernama
Oktober 28, 2017 22:20 MYT
"Orang ramai boleh datang untuk menamatkan jangka hayat kenderaan mereka yang sudah uzur dan melebihi tempoh yang ditetapkan, yang mungkin sudah lebih membebankan jika kenderaan itu sering perlu dibaiki. - Gambar fail
Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji kesesuaian mewujudkan dasar tamat hayat kenderaan yang akan menetapkan had usia kenderaan.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata ketetapan itu diambil untuk mengurangkan risiko kemalangan disebabkan faktor usia kenderaan, seperti kemalangan dua bas kilang berhampiran Plaza Tol Juru, Pulau Pinang pada Selasa lalu yang menyebabkan lapan maut.
Katanya, siasatan awal mendapati sebuah bas yang berhenti di tepi jalan akibat kerosakan dalam kemalangan itu telah berusia 32 tahun manakala sebuah lagi bas berusia melebihi 10 tahun.
"Walaupun siasatan awal mendapati kedua-dua bas itu lulus pemeriksaan Puspakom pada September lalu, kita tidak tahu jika kenderaan itu rosak selepas menjalani ujian, terutama bas yang usianya sudah terlalu lama.
"Sebab itu, kita melihat isu berkaitan usia kenderaan adalah perkara besar dalam aspek keselamatan jalan raya dan perkara ini telah dipraktikkan di negara lain seperti Jepun dan Singapura atas sebab keselamatan," katanya.
Tiong Lai berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Bomba Sukarela Zon Timur di Janda Baik di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim dan Pengarah JBPM negeri, Datuk Abdul Wahab Mat Yassin.
Beliau menambah dasar baharu itu juga, jika dilaksanakan akan membabitkan kerjasama daripada Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli untuk melupuskan kenderaan yang telah ditamatkan hayatnya mengikut cara yang sepatutnya dan mesra alam sekitar.
"Ketiadaan dasar ini menyebabkan kereta lama yang sudah berusia 30, 40 tahun tersadai begitu saja atau dipotong. Sebab itu kita mahu adakan kajian kesesuaian dasar ini yang diharapkan dapat selesai dalam tempoh masa sesuai," katanya.
Tiong Lai memberi jaminan bahawa kerajaan akan mendengar pandangan rakyat dan semua pihak berkepentingan dalam isu itu supaya pelaksanaannya tidak membebankan mana-mana pihak kerana matlamatnya ialah menjamin keselamatan.
"Kita tidak mahu memaksa atau buat rakyat berasa dipaksa...sebab itu kita akan libatkan mereka dalam kajian ini. Antara cadangan yang difikirkan ialah supaya dasar ini dilaksanakan secara sukarela.
"Orang ramai boleh datang untuk menamatkan jangka hayat kenderaan mereka yang sudah uzur dan melebihi tempoh yang ditetapkan, yang mungkin sudah lebih membebankan jika kenderaan itu sering perlu dibaiki.
"Kita boleh memikirkan untuk memberi sedikit insentif kepada mereka untuk memberi kenderaan baharu jika mereka bersetuju untuk menamatkan hayat kenderaan itu kerana memikirkan keselamatan diri dan keluarga," katanya.
Tiong Lai berkata, keutamaan dasar itu akan diberikan kepada kenderaan berat dan yang membabitkan ramai orang seperti bas atau lori dan berharap dasar itu mendapat sambutan baik, jika dilaksanakan secara sukarela
#Infrastruktur #jangka hayat #Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli #kenderaan #keselamatan #Liow Tiong Lai #pemandu #penumpang #Plaza Tol Juru #Puspakom #sosial #Wan Mohd Nor Ibrahim
;