Kaji kesan sampingan vaksin Pfizer selepas digunakan di UK

Hasimi Muhamad
Disember 3, 2020 07:52 MYT
Kerajaan tidak boleh berkompromi dengan isu keberkesanan, keselamatan dan tahap imuniti sesebuah vaksin, kata Dr Zainal Ariffin Omar. - Gambar REUTERS
KUALA LUMPUR: Malaysia disaran untuk menilai kesan sampingan terhadap penggunaan vaksin COVID-19 daripada Pfizer selepas ia digunakan di United Kingdom (UK), pada minggu depan.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, setakat ini negara masih belum menerima sebarang data kajian atau dapatan keberkesanan vaksin berkenaan.
"Jadi, saya rasa bila kerajaan UK melaksanakan (vaksin Pfizer) minggu depan dan kita boleh melihat perkembangan pertama dari segi kesan sampingan vaksin tersebut.
"Ini mungkin dapat kita pelajari dan diubahsuai untuk penduduk di negara kita nanti," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Khamis.
BACA: COVID-19: UK negara pertama luluskan vaksin Pfizer dan BioNTech
Mengulas lanjut, Zainal berkata, UK mengambil risiko besar selepas menjadi negara pertama meluluskan vaksin tersebut.
Katanya, sekiranya vaksin berkenaan gagal, ia mungkin akan menyebabkan tahap kepercayaan masyarakat dunia terhadap vaksin akan menurun.
"(Tetapi) sekiranya UK berjaya melaksanakan pemberian vaksin ini, ia akan membantu membuka atau merancakkan ekonomi, bukan sahaja di negara kita tetapi di seluruh dunia.
"Pada masa sama kita masih mengamalkan norma-norma baharu supaya kita mengambil masa satu hingga tiga tahun untuk stabilkan keadaan jangkitan walaupun kita mempunyai vaksin nanti," katanya.
Jelas beliau lagi, kerajaan tidak boleh berkompromi dengan isu keberkesanan, keselamatan dan tahap imuniti sesebuah vaksin.
Justeru, katanya, para pengkaji vaksin perlu meneliti keberkesanan vaksin memandangkan vaksin COVID-19 dihasilkan dalam tempoh yang singkat iaitu sekitar 10 bulan, berbanding vaksin lain yang dicipta dalam jangka masa dua hingga 10 tahun.
Dalam perkembangan sama, Zainal memaklumkan kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mendapatkan tambahan dos vaksin daripada syarikat farmaseutikal Moderna, jika vaksin syarikat itu terbukti berkesan kelak.
"Pertama kita telah menandatangani dengan Pfizer, kemudian kita ada pilihan lain.
"Saya merasakan bagus (untuk) kerajaan kita mempunyai beberapa pilihan, dan saya rasa kemungkinan besar kita boleh mendapatkan stok atau dos tambahan daripada syarikat Moderna dan lain-lain sebagai supplement kepada apa yang kita dapat daripada Pfizer nanti," ujarnya.
#United Kingdom #COVID-19 #Malaysia #Pfizer #perubatan #PKP #Moderna