Kaji kesan baik buruk sebelum ambil pekerja Afrika - Duta

Astro Awani
Jun 29, 2019 23:05 MYT
Perdana Menteri berkata, idea membawa masuk pekerja asing dari negara Afrika untuk bekerja dalam sektor perladangan masih berada di peringkat cadangan. - Gambar hiasan
Malaysia perlu mengkaji dan menentukan cadangan untuk mengambil pekerja asing dari Afrika disebabkan benua negara itu terlalu besar dan tidak seragam.
Duta Malaysia ke Senegal, Dr Shazelina Zainul Abidin berkata, setiap negara dan setiap kaum adalah berbeza di benua Afrika.
“Jadi, apabila kita hendak mengambil pekerja asing dari Afrika, kita perlu melihat dari mana pekerja ini datang, apa latar belakang dia, apa kerakyatan dia.
“Setakat ini, saya sendiri belum menerima apa-apa arahan atau permohonan untuk mendapatkan pekerja asing dari Afrika untuk Malaysia.
"Tetapi, saya yakin, walau apa pun, kerajaan akan pastinya mengkaji perkara ini dahulu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.
Terdahulu pada Jumaat, Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran mengetengahkan cadangan membawa masuk pekerja dari negara Afrika berikutan pekerja asing dari Vietnam dan Indonesia tidak lagi berminat untuk bekerja di negara ini disebabkan gaji yang diterima hampir sama dengan di negara asal.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, idea membawa masuk pekerja asing dari negara Afrika untuk bekerja dalam sektor perladangan masih berada di peringkat cadangan.
Katanya, Kabinet akan memperhalusi cadangan itu dengan lebih mendalam pada mesyuarat akan datang.
Menurutnya, tindakan membawa masuk pekerja dari Afrika mungkin akan dilaksanakan bagi menampung keperluan dalam sektor perladangan.
Sementara itu, mengulas lanjut, Shazelina memberitahu, kajian mendalam perlu dilakukan untuk menentukan sama ada pengambilan pekerja asing dari Afrika adalah baik untuk Malaysia atau sebaliknya.
“Satu perkara yang perlu kita ambil maklum adalah benua Afrika ini adalah satu benua yang besar,” jelasnya.
#Afrika #benua #duta #Indonesia #kabinet #Mahathir Mohamad #pekerja asing #Perdana Menteri #perladangan #Shazelina Zainul Abidin #Vietnam
;