Kaji keputusan untuk kurangkan bebanan rakyat - GMM

Haider Yutim
Disember 31, 2013 19:38 MYT
Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) hari ini menyeru kerajaan supaya mengkaji semula sesetengah keputusan yang dibuat supaya ia tidak menambah lagi kesusahan kepada rakyat.
Dalam sebuah kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif GMM, Datuk Saifuddin Abdullah berkata jika dasar yang dijalankan serta program yang dilaksakan itu munasabah, rakyat Malaysia akan menghargainya.
Sebaliknya, menurut beliau apabila berlakunya tanggapan bahawa beberapa tindakan kerajaan itu tidak munasabah, perasaan tidak puas hati akan mula timbul di kalangan rakyat.
“Kami percaya bahawa rakyat Malaysia secara umumnya orang yang berfikiran waras. Mereka akan dapat menghargai cabaran yang kita sebagai sebuah negara akan menghadapi bersama-sama, jika pendekatan yang digunakan , dasar yang dilaksanakan dan program yang dijalankan itu adalah dari jenis yang munasabah,” kata Saifuddin dalam kenyataan tersebut.
Katanya, meskipun tahun 2013 meninggalkan kesan ‘luka’ pada sesetengah golongan rakyat, perlu diketahui juga tahun 2014 bakal membuka peluang bagi mereka untuk melalui proses ‘penyembuhan’.
Ujarnya, dengan kemungkinan berlakunya peningkatan ketara dalam kos hidup, isu-isu agama yang tidak selesai, keraguan terhadap kurangnya kebebasan dalam media massa dan juga isu-isu hak asasi manusia, adalah mudah untuk memahami kebimbangan rakyat dalam apa yang bakal dibawa oleh tahun berikutnya.
“Kami di GMM mencadangkan bahawa semua pihak yang berkepentingan, terutamanya masyarakat awam, untuk bersatu untuk membantu membuat 2014 lebih baik daripada tahun suram yang dijangkakan ramai,” kata Saifuddin.
Menurut beliau, organisasi berharap agar dapat menyumbang kepada politik dwi-partisan, tadbir urus yang baik, hak asasi manusia, toleransi agama, pembangunan inklusif, serta perpaduan.
“Kami percaya bahawa dengan usaha tertumpu di kawasan-kawasan ini , tahun yang lebih baik dapat direalisasikan,” katanya.
Sementara itu, Saifuddin turut memuji pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak , menggariskan 11 langkah-langkah penjimatan kos bagi mengurangkan perbelanjaan sektor awam.
Katanya ia merupakan satu langkah ke arah yang betul selain mahukan kerajaan menggunakan teknologi seperti e-perolehan dan e-bidaan agar dapat menjimatkan kos dan membendung rasuah.
Kata Saifuddin ia penting untuk meyakini bahawa 2014 yang lebih baik, mampu dicapai untuk Malaysia.
Jelasnya, Malaysia yang lebih baik pada 2014 memberikan situasi menang-menang kepada semua pihak.
Selain itu, tambah Saifuddin ia juga boleh meletakkan negara dalam kedudukan yang lebih baik menjelang 2015 di peringkat antarabangsa.
#2013 #2014 #Global Movement of Moderates #GMM #Saifuddin Abdullah #tahun baru
;