Kaji dulu cadangan lokap untuk pelajar, boleh trauma dibuatnya - NUTP
Rahimah Abdullah
Ogos 20, 2017 16:35 MYT
Ogos 20, 2017 16:35 MYT
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berharap Kementerian Pendidikan membuat kajian secara terperinci sebelum melaksanakan program pemulihan dengan menempatkan pelajar dibuang sekolah di lokap atau penjara.
Presidennya, Kamarozaman Abd Razak berkata program seumpama itu pernah dilaksanakan sebelum ini dan banyak memberikan kesan trauma kepada pelajar.
"Ada sesetengah murid yang membuli ini hanya ikut kawan. Hakikatnya, budak ini baik sebenarnya, tapi terikut-ikut ketua (gangster) atau kawan-kawan dia.
"Jadi, apabila kita buat program melibatkan lokap atau penjara, dia pula rasa tertekan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini, hari ini.
Pada masa sama, beliau berharap kementerian dapat melakukan pemilihan pelajar bermasalah untuk dimasukkan dalam program pemulihan berkenaan secara berkesan bagi mengelak timbul isu pelajar teraniaya.
"Selidik keluarga dia, hubungan dia dengan kawan, takut dia teraniaya kerana apabila teraniaya pihak keluarga akan menyalahkan pihak sekolah. Jadi ini yang kita tidak mahu kerana menyebabkan hubungan ibu bapa tidak harmoni dengan pihak sekolah," kata Kamarozaman.
Bagaimanapun, katanya, beliau mengakui ada juga pelajar yang menunjukkan respon positif daripada program pemulihan yang pernah dilaksanakan di penjara sebelum ini.
"Ada pelajar yang bagus (selepas pemulihan) tidak ada masalah. Namun, ada pelajar yang tidak boleh terima kerana daripada segi psikologi ia akan mengganggu pelajar di sekolah.
"Seolah-olah terlalu besar kesalahan yang dibuat. Memanglah buli itu kes besar, tetapi ada yang terikut-ikut dengan kawan yang didenda itu," ujarnya.
Pada Sabtu, Menteri Pendidikan,Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pelajar yang mempunyai masalah disiplin serius akan dihantar menjalani program pemulihan di penjara dan lokap dalam usaha kementerian memerangi gejala sosial di sekolah.
Program yang sedang dirangka itu dijangka siap tidak lama lagi sebelum dilaksanakan secara rasmi.