Kaitkan MO1 dengan Agong: Polis akan panggil Nawawi Ahmad
Bernama
Ogos 20, 2016 09:21 MYT
Ogos 20, 2016 09:21 MYT
Polis akan memanggil anggota Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad berhubung kenyataannya Yang di-Pertuan Agong adalah 'Malaysian Official 1' (MO1) yang disebut dalam laporan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis sudah menerima beberapa laporan mengenai perkara itu dan siasatan akan dijalankan.
"Kami akan memanggil anggota Parlimen berkenaan untuk merakam keterangannya dalam tempoh yang terdekat," katanya kepada pemberita bersempena majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia di Bukit Aman di sini pada Jumaat.
Nawawi sebelum ini memuat naik status di laman Facebooknya menyatakan Yang di-Pertuan Agong ialah MO1 bertanggungjawab terhadap kerajaan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
DOJ menyebut MO1 dalam laporan saman sivil bagi mendapatkan kembali aset yang diperoleh melalui dana yang didakwa diselewengkan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).