Kain rentang bantah jawi perbuatan pihak ketiga berniat jahat - Exco Melaka

Bernama
Disember 23, 2019 17:54 MYT
Kain rentang di pagar sekolah di Melaka ini menegaskan mesej membantah pengajaran jawi. - Facebook Azmi Hj Aziz
Perbuatan mencetak dan menggantung kain rentang bantah jawi di beberapa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di negeri ini adalah perbuatan pihak ketiga yang berniat jahat, tegas Exco Pendidikan, Modal Insan, Sains dan Inovasi Melaka Datuk Noor Effandi Ahmad.
Beliau berkata ia bukan perbuatan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) atau Lembaga Pentadbir Sekolah (LPS) terbabit, sebaliknya beliau mendakwa ia perbuatan pihak ketiga yang langsung tiada kaitan dengan sekolah-sekolah itu.
"Mereka cetak banyak-banyak dan gantung di luar pagar sekolah pada hari Sabtu di waktu sekolah sedang bercuti dan kakitangan pengurusan juga bercuti. Ini namanya baling batu, sembunyi tangan. Pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat akan menurunkan kain-kain rentang ini.
"Pihak sekolah, PIBG dan LPS semua SJKC seluruh Melaka sudah maklum ibu bapa diberi hak memilih dengan kerjasama PIBG sama ada tiga muka surat pengenalan kepada maksud tulisan jawi di dalam buku teks Bahasa Melayu bagi murid darjah empat perlu diajar ataupun tidak," katanya dalam kenyataan di sini hari ini berhubung perkara itu.
Noor Effandi berkata pihak ketiga yang tidak dinamakannya dalam kenyataan itu dinasihatkan supaya menghentikan agenda buruk itu kerana rakyat di Melaka bersatu-padu dan memuliakan kepelbagaian kaum, malah mereka tanpa mengira kaum adalah sahabat sejati sejak beratus tahun lamanya.
Semalam, beberapa gambar memaparkan kain rentang dalam bahasa Malaysia dan tulisan Cina menyatakan 'Sekolah Ini Tidak Setuju Pengenalan Tulisan Jawi Dalam Kurikulum Bahasa Melayu' yang dikesan digantung di beberapa sekolah di negeri ini tular di media sosial.
-- BERNAMA
#bantah jawi #exco Melaka #kain rentang bantah jawi #Noor Effandi Ahmad #sekolah #SJKC
;