'Kahwin luar negara, pasangan perlu maklum keluarga'
Sinar Harian
Januari 9, 2023 08:00 MYT
Januari 9, 2023 08:00 MYT
GEORGE TOWN: Pasangan yang ingin berkahwin di luar negara dinasihatkan supaya memaklumkan niat mereka kepada ibu bapa atau waris masing-masing.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, mereka yang telah melakukan perkara itu tanpa izin keluarga atau tanpa memaklumkannya, perlu memohon maaf di atas perbuatan tersebut.
"Sebaik-baiknya maklum lah kepada ibu bapa atau waris mengenai perkahwinan yang hendak dilangsungkan itu. Pasangan yang ingin berkahwin di luar negara juga, perlu memberitahu kepada keluarga sebab mereka berbuat demikian.
"Sekiranya telah berlaku, sebagai anak, mereka perlu memohon maaf kepada ibu bapa atau waris di atas tindakan yang diambil itu," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Kata beliau, sebagai anak, pasangan yang ingin berkahwin sepatutnya menghormati ibu bapa dengan memaklumkan niat mereka itu.
"Perkahwinan adalah satu perkara yang bukan boleh dibuat main, ia perlu dimaklumkan kepada ibu bapa.
"Jika sudah berlaku (perkahwinan di luar negara), pandai-pandai lah mengambil hati mereka semula dengan mempamerkan kelakuan yang menyenangkan, memberi hadiah atau meraikan mereka dalam majlis tertentu seperti hari lahir atau Hari Ibu.
"Semoga dengan cara tersebut, hati ibu bapa, waris, adik beradik, ipar duai yang terguris boleh diubati semula. Segala kekeruhan yang telah berlaku, diharap dapat dijernihkan semula," katanya. -Sinar Harian