Kahwin bawah umur tidak selesai masalah sosial - Dr Afif
Isabelle Leong
Disember 6, 2018 10:46 MYT
Disember 6, 2018 10:46 MYT
Hujah yang mendakwa isu gejala sosial boleh diselesai menerusi perkahwinan termasuk bawah umur merupakan pandangan dangkal.
Ini kerana, menurut Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin, had umur perkahwinan tiada kena mengena dengan masalah moral sebaliknya, hanya melalui pendidikan masalah sedemikian dapat diatasi.
“Ada yang mengatakan perkahwinan bawah umur ini akan mengelakkan isu-isu gejala sosial. Saya rasa itu adalah kenyataan yang paling dangkal sekali.
“Kalau kita lihat dari dulu lagi budaya perkahwinan bawah umur ini dibenarkan, adakah masalah sosial selesai? Tidak. Masalah sosial hanya akan selesai dengan pendidikan, bukan perkahwinan.
“Saya tidak terkejut dengan pandangan yang dikeluarkan sesetengah pihak kerana ini adalah pandangan lama atau aliran lama yang dibawa untuk mempertahankan amalan ini,” katanya semasa menjadi pendebat dalam acara Debat AWANI edisi Siri Debat Awam IIUM Re:Action-Youth Engaged yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada Rabu.
Dr Afif turut memberitahu, adalah suatu yang ironi seandainya kanak-kanak di bawah umur dibenarkan berkahwin, tetapi dalam masa golongan sedemikian tidak dibenarkan menandatangani surat kebenaran untuk menjalani pembedahan.
“Kalau berlaku seorang anak perempuan berumur 16 tahun pergi ke hospital kerana kakinya patah dan memerlukan pembedahan.
“Dia perlu menandatangani surat kebenaran untuk menjalani pembedahan, tetapi sebagai seorang ‘minor’ yang berumur 16 tahun, dia tidak boleh menandatangani surat tersebut kerana tidak dianggap mencapai usia matang.
“Maka ia agak ironi jika kita membenarkan mereka untuk berkahwin tetapi kalau kakinya patah, dia tidak boleh tandatangani surat kebenaran itu sendiri,” tambahnya.
Senario itu, tegas beliau, jelas menunjukkan kanak-kanak di bawah umur belum cukup matang untuk membuat keputusannya sendiri apatah lagi untuk dikahwinkan.
#bawah umur
#dangkal
#Debat AWANI
#Dr Afif Bahardin
#Exco
#pendidikan
#perkahwinan
#pulau pinang
#Siri Debat Awam IIUM Re Action-Youth Engaged
#solusi