Kafeteria Kompleks Mahkamah KL 'banjir' kali ketiga
Bernama
September 25, 2015 15:50 MYT
September 25, 2015 15:50 MYT
Selepas lima tahun, Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini sekali lagi 'banjir' ekoran paip bocor sehingga melimpahi keseluruhan kafeteria.
Kejadian itu merupakan kali ketiga berlaku di tempat yang sama sejak 2007.
Pada Mei 2007, kafeteria mahkamah digenangi air selepas mengalami masalah kebocoran paip menyebabkan siling di bahagian kafeteria runtuh, ketika kompleks mahkamah yang dibina dengan kos RM270 itu tidak sampai sebulan beroperasi.
Kali kedua insiden yang sama berlaku pada Jun 2010.
Orang awam yang ditemui Bernama hari ini memaklumkan limpahan air itu mencecah paras buku lali ketika kompleks itu mula dibuka pada 8 pagi.
Difahamkan kebocoran itu berpunca daripada paip air yang pecah berhampiran sebuah kedai runcit dalam kafeteria itu yang turut menyebabkan beberapa kepingan siling runtuh.
Osman Arifin, 38, yang bekerja sendiri berkata beliau terkejut kafeteria dilimpahi air ketika dia sampai kira-kira 8.10 pagi tadi.
"Ketika saya sampai saya lihat siling berlubang dan kepingan siling bertaburan atas lantai berdekatan dengan sebuah kedai runcit di kafeteria itu.
"Keseluruhan kawasan kafeteria itu pula dipenuhi air," katanya yang terpaksa bersarapan pagi di luar kawasan mahkamah.
Tinjauan Bernama pada 11 pagi, mendapati pihak pengurusan bangunan mahkamah menutup siling yang berlubang di kawasan kedai runcit itu dengan plastik lutsinar bagi menjalankan kerja baik pulih dan kedai runcit berkenaan ditutup.
Bagaimanapun kedai makan dan pejabat pos di kafeteria itu kembali beroperasi seperti biasa selepas kerja pengeringan air selesai dijalankan.