Kaedah undi elektronik dapat selesai masalah peratusan keluar mengundi rendah - Penganalisis
Israr Khalid
Februari 26, 2022 10:45 MYT
Februari 26, 2022 10:45 MYT
KUALA LUMPUR: Pengundian secara elektronik mampu menyelesaikan masalah keterbatasan rakyat untuk mengundi secara tradisional yakni fizikal, kata Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain.
Menurutnya, apabila pengundi boleh mengundi di mana-mana sahaja, tiadalah lagi isu peratusan keluar mengundi rendah apabila pilihan raya diadakan.
Misalnya, katanya, dalam keadaan hari ini, ada sebahagian besar rakyat yang masih risau dengan ancaman COVID-19 dan takut untuk keluar ke tempat orang ramai.
Mereka juga mungkin berada dalam kuarantin pada hari mengundi, tetapi merupakan pemilih yang mahu mengundi.
Jadi, kata Mohd Izani, jika ada sistem yang membolehkan pemilih mengundi secara dalam talian menerusi aplikasi khusus misalnya, mereka tetap dapat terlibat dalam proses demokrasi.
“Ini sudah dilaksanakan oleh banyak negara. Kita di Malaysia masih lagi menggunakan pendekatan tradisional, sejak merdeka sampailah sekarang," tambahnya.
Bagaimanapun, dua perkara perlu diselesaikan dahulu sebelum ia dapat dilaksanakan dengan baik, iaitu meminda Perlembagaan dan memastikan sistem yang dicipta itu betul-betul mantap.
“Dalam Perlembagaan ada menyebut bahawa ‘seseorang yang membuang undi itu mestilah menggunakan sekeping kertas.’
"Ini perlu dipinda dahulu dan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga sokongan Ahli Parlimen.
“Keduanya, saya melihat infrastruktur kita mesti bersedia untuk melaksanakan undi elektronik.
"Ini kerana, jika ada gangguan masalah teknikal, ia akan wujudkan masalah lain iaitu keyakinan terhadap ketelusan sistem pilihan raya itu sendiri,” kata Mohd Izani.
Tonton temu bual penuh beliau dalam Agenda AWANI, di sini: