Kaedah tradisional hanya pelengkap pemulihan pesakit COVID-19 - Dr Noor Hisham

Bernama
April 30, 2020 23:23 MYT
Apa yang dicadangkan pakar dari China itu ialah perkongsian dilakukan dalam membantu proses kesembuhan di negara mereka, kata Noor Hisham. - Bernama
Penggunaan ubat herba dan kaedah tradisional yang dicadangkan oleh pakar perubatan dari China hanya sebagai pelengkap kepada proses pemulihan dan bukan satu rawatan khusus bagi pesakit COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata masih belum terdapat kaedah atau ubatan bagi pesakit COVID-19 tetapi apa yang dicadangkan pakar dari China itu ialah perkongsian dilakukan dalam membantu proses kesembuhan di negara mereka.
"Tentang ubat tradisional ia bukan sebagai satu rawatan tetapi hanya rawatan pelengkap, misalnya dengan penggunaan akupunktur dan herba Cina mungkin boleh mempercepatkan kesembuhan atau perawatan tersebut.
"Kita memang ada perbincangan teliti dengan mereka (pakar dari China) serta perkongsian pengalaman daripada mereka yang kita dapat belajar dan cuba untuk elakkan agar kita tidak mengulangi kelemahan yang sedia ada," katanya dalam sidang media harian mengenai COVID-19, di sini pada Khamis.
Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut akan mengadakan perbincangan serta sidang susulan dengan pasukan perubatan dari China itu mengenai tindakan perawatan dan perubatan yang lebih terperinci.
"Sekurang kurangnya mereka telah memberi keyakinan kepada kita mengenai tindakan kita (yang telah diambil) dan ia berkesan. Jadi lawatan mereka itu saya rasa sedikit sebanyak telah kita dapat menfaat daripada situ," tambahnya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham menjelaskan bidang kuasa selepas pendatang tanpa izin (PATI) disaring COVID-19 dan dikenakan tindakan undang-undang, bukan bidang kuasa dibawah kementerian itu.
Jelasnya, tanggungjawab KKM adalah untuk menyaring, mengesahkan serta merawat mereka yang positif COVID-19.
"Jika positif, kita akan asingkan mereka untuk tempoh dua minggu dan selepas itu kita akan saring sekali lagi. Itulah tindakan di KKM dan selebih itu kita serah pada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk ambil tindakan," katanya.
Beliau menjawab soalan pemberita berkenaan dakwaan PATI dikenakan tindakan selepas menjalankan ujian saringan COVID-19.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 21,271 warga asing telah disaring yang mana 811 kes adalah kes positif dan melibatkan empat kematian setakat ini.
-- BERNAMA
#China #COVID-19 #Dr Noor Hisham Abdullah #Kementerian Kesihatan #kesihatan #KKM #tradisional #ubat herba
;