Kaedah risikan proaktif kukuh siasatan SPRM

Astro Awani
April 25, 2014 18:32 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mempertingkatkan kaedah Siasatan Berasaskan Risikan (IBI) yang sudah mula memperlihatkan impak besar dalam menyelesaikan kes salah guna kuasa dan rasuah membabitkan kepentingan awam.
IBI, kaedah yang bersifat proaktif, telah membolehkan kadar sabitan kes-kes yang disiasat mencecah 95 peratus, di samping tiada kes tertunggak.
"Kadar sabitan hasil penggunaan kaedah IBI ini telah mengatasi kadar sabitan keseluruhan SPRM iaitu sekitar 85 peratus," kata Pengarah Bahagian Perisikan, Datuk Mohd Azam Baki pada majlis penutup Kursus Intelligence Based Investigation (IBI) di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di sini, hari ini.
Seramai 11 pegawai pencegahan rasuah dari lima negara mengikuti kursus kali ini.
"Melalui kaedah ini, tindakan, arahan dan pengendalian aktiviti perisikan diletakkan di bawah kelolaan pusat perisikan di ibu pejabat dan ia mampu meningkatkan pengendalian dan pengurusan kes-kes yang berprofil tinggi, bersindiket dan berkepentingan awam," katanya.
Sejajar dengan program transformasi, kaedah IBI yang turut merangkumi strategi 'undercover', dimantapkan dalam usaha meningkatkan kejayaan kes-kes yang disiasat oleh SPRM.
Kaedah IBI telah digunakan sejak 2000 membabitkan kes-kes berkepentingan awam dan berprofil tinggi.
Selain itu menurut beliau, kaedah IBI telah membolehkan kerajaan menyelamatkan ketirisan minyak diesel yang nilainya mencecah RM1 bilion pada tahun 2010.
"Kaedah ini dapat dilihat dalam operasi berprofil tinggi seperti Ops Lesen Terbang, Ops Tok Bali, Ops Tekong membabitkan penyalahgunaan kuasa, ketirisan dan penyelewengan diesel subsidi yang mendatangkan impak kepada negara.
Ops Lesen Terbang pada tahun 2010 melibatkan pengeluaran memandu, Ops Tok Bali (2013) pula memfokus kes penyelewengan diesel bersubsidi dan alam sekitar manakala Ops Tekong (2014) menyiasat penggunaan bot pukat tunda oleh nelayan di perairan Pantai Timur.
"Justeru, saya yakin bahawa jika kaedah IBI, yang bersifat proaktif berbanding reaktif sebelum ini, dimantapkan dan dibaiki, akan membolehkan impak yang lebih besar kepada negara," kata beliau lagi.
Mengenai alasan penggunaan kaedah IBI, jelas Azam, dalam kes-kes seperti penyelewengan diesel bersubsidi, "jarang" ada pengadu yang berani tampil memberi maklumat.
Oleh itu katanya, "pegawai perisikan sendiri turun padang dan mengumpul maklumat, menyiasat."
"Sekiranya ada unsur rasuah, ketirisan yang boleh mendatangkan kesan kepada masyarakat dan merugikan negara, siasatan yang sistematik akan diteruskan dan pengumpulan maklumat lengkap akan dibuat.
"Dengan kaedah pengumpulan maklumat yang lebih terperinci dan sistematik ini juga memudahkan proses pendakwaan, dan bagi kes-kes perisikan yang menggunakan kaedah ini kadar sabitannya adalah sebanyak 95 peratus," katanya.
Konsep dan kaedah IBI yang diguna pakai oleh SPRM ini juga menjadi salah satu penanda aras yang turut diambil kira dalam transformasi SPRM.
Malah, ia turut dilihat sebagai satu model contoh dalam operasi unit risikan bagi agensi pencegahan rasuah di negara-negara lain.
Jelas beliau, penggunaan kaedah IBI akan membolehkan jenayah rasuah merentasi sempadan ditangani dengan berkesan.
Kata Azam, contoh yang jelas membabtikan negara jiran Brunei Darussalam.
"Di bawah kerjasama dua hala dengan Brunei, kita telah membantu Brunei menggunakan kaedah IBI menyelesaikan beberapa kes. Jadi, saya yakin, jika kaedah ini digunakan dengan luas, ia dapat membantu menangani kes-kes melibatkan negara jiran dan di peringkat global," kata beliau.
Katanya, agensi pencegahan rasuah dari negara jiran turut mendapatkan latihan mengenai kaedah IBI daripada SPRM melalui kursus kendalian MACA.
"Ada antara pegawai agensi pencegahan rasuah negara jiran yang mengikuti kursus ini menyatakan bahawa kaedah IBI ini banyak membantu mereka dalam menjalankan siasatan yang memerlukan kemahiran risikan," katanya.
Langkah itu juga selaras dengan perkembangan semasa dan persekitaran jenayah rasuah yang semakin kompleks serta keperluan terhadap penggunaan kaedah yang sistematik dan berteknologi tinggi.
Azam memberitahu, penggunaan kaedah IBI turut dipengaruhi oleh perubahan persekitaran jenayah rasuah di mana ketika ini kebanyakkan kes berimpak tinggi berlaku secara bersindiket.
"Bagi kes-kes sebegini, kita memerlukan pembongkaran melalui tindakan penyiasatan secara proaktif dan memerlukan maklumat yang perlu diteruskan secara perlaksanaan projek termasuk penggunaan pegawai risik.
"Jadi, bagi mengelakkan pertindihan maklumat dan membolehkan penggunaan pegawai secara maksimum, kaedah ini mula diguna pakai," katanya.
#IBI #impak besar #kepentingan awam #Rasuah #salah guna kuasa #Siasatan Berasaskan Risikan #SPRM
;