Kaedah penggiliran ke sekolah tidak akan tambah beban tugas guru - Radzi Jidin

Bernama
September 29, 2021 00:41 MYT
Datuk Radzi Jidin berkata ini adalah kerana guru hanya perlu mengajar mengenai silibus yang sama, untuk dua kumpulan murid yang berbeza. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan kaedah penggiliran ke sekolah dengan memecahkan kelas kepada dua kumpulan pada pembukaan sekolah mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 3 Okt depan, tidak akan menambah beban tugas pengajaran guru.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin berkata ini adalah kerana guru hanya perlu mengajar secara bersemuka mengenai silibus yang sama, untuk dua kumpulan murid yang berbeza.
"Kaedah pelaksanaan sistem penggiliran ini ialah satu kelas kita pecahkan kepada dua kumpulan, minggu pertama kumpulan A yang datang ke sekolah akan belajar secara bersemuka dengan guru, dan minggu seterusnya kumpulan ini akan belajar di rumah dan perkara yang mereka perlu buat adalah melakukan tugasan seperti aktiviti, buku teks termasuk pembelajaran melalui Youtube yang diberikan guru.
"Sistem ini tidak akan tambah beban tugas guru, sebab guru memang sudah buat persediaan dan rancangan mengajar, mereka hanya kongsikan perkara ini dengan murid untuk buat persediaan di rumah dan bila murid datang semula ke sekolah, guru akan tengok topik mana yang anak murid mereka tidak faham, guru akan bantu," katanya.
Beliau berkata demikian pada program Inklusif: Pengoperasian Sekolah Secara Selamat dan Kondusif yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam ini.
Jelasnya, kumpulan B akan hadir ke sekolah pada minggu berikutnya untuk mengikuti sesi pembelajaran bersemuka.
Dalam pada itu, Radzi berkata dalam memastikan aspirasi kerangka yang dikeluarkan kementerian dapat dilaksanakan dengan baik, jaringan komunikasi bukan sahaja di peringkat kementerian bahkan di peringkat bawah digunakan sebaiknya.
"Ibu bapa sendiri turut memohon supaya diadakan libat urus sekolah dengan ibu bapa, supaya masing-masing faham apa yang kementerian lakukan.
"Semalam, kami juga ada berjumpa Pengarah Pendidikan dan katakan arahan kami bahawa anak-anak kalau tidak datang sekolah, ada surat tidak akan dikenakan tindakan disiplin, kami sudah pesan janganlah pula nanti keluar surat amaran bila murid tiga hari tidak hadir ke sekolah, diberikan surat amaran," katanya.
-- BERNAMA
#Kementerian Pendidikan #Radzi Jidin #pembukaan sekolah #penggiliran
;