Kaedah pembelajaran 'menakutkan' punca pelajar ambil aliran sains merosot
Faida Rahim
Ogos 6, 2023 21:30 MYT
Ogos 6, 2023 21:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kaedah pembelajaran aliran Sains di peringkat sekolah rendah dianggap 'menakutkan' sekali gus membuatkan pelajar tidak berminat mengikuti aliran berkenaan di peringkat menengah.
Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berpendapat silibus yang terlalu banyak juga antara faktor aliran sains di kalangan pelajar semakin merosot.
"Setiap guru ada KPI dia. KPI nya mesti menghabiskan sukatan pelajaran pada tahun-tahun persekolahan. Jadi kalau tak habis sukatan ini mereka akan dianggap tidak mengajar oleh pentadbir sekolah.
"Jadi apa yang mereka lakukan, mereka akan mengajar di dalam kelas yang besar, mahu tak mahu mereka terpaksa melakukan dari topik ke topik mengikut perancangan tahunan mereka.
"Dalam proses itu akan ada murid-murid yang mungkin lemah, mungkin tidak dapat menangkap apa yang diajar guru dengan cepat. Mereka akan ketinggalan sebab guru akan masuk ke topik-topik seterusnya, sedangkan topik sebelum itu ada murid yang tidak dapat menguasai sepenuhnya dengan baik," katanya.
Tambah Anuar, ini menyebabkan semakin lama bilangan pelajar yang tidak dapat menguasai subjek ini dengan baik meningkat, dan sekali gus penurunan motivasi pelajar dalam aliran sains akan ikut serta.
Kongsinya lagi, kaedah atau cara pembelajaran di bilik darjah di negara ini juga perlu ditambah baik dan mencontohi cara pembelajaran sekolah di negara-negara maju apabila mereka lebih banyak berinteraksi dengan alam di luar kelas.
"Mereka akan ke anak-anak sungai kecil, mereka akan ke taman-taman bunga, melihat kawasan di kebun bunga. Mereka lihat fenomena sains yang boleh diadaptasikan dalam alam.
"Pada mereka sains adalah permainan, sains adalah satu aktiviti yang menyeronokkan, sains akan memberikan mereka kepuasan.
"Kita mungkin berbeza kerana kita belajar sains sebagai sesuatu yang tekstual hanya apa yang berlaku dalam buku teks sahaja. Di negara maju, kita lihat melakukan kesilapan dalam uji kaji sains itu adalah biasa," katanya.