Kaedah pelaksanaan laluan kontra di BSI, KSAB diperhalusi
Bernama
Jun 7, 2023 13:13 MYT
Jun 7, 2023 13:13 MYT
JOHOR BAHRU: Kaedah pelaksanaan berhubung cadangan laluan kontra di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri, kini sedang diperhalusi.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kini sedang meneliti beberapa cadangan mengenai kaedah pelaksanaan sebelum dikuatkuasakan.
"Antara perkara yang dibincangkan adalah cadangan laluan kontra untuk pejalan kaki dan pengguna bas pada waktu luar jangka, iaitu semasa Malaysia dan Singapura berada di musim cuti sekolah atau cuti umum seperti yang berlaku tempoh hari.
"Saya berharap agar semua agensi terlibat, untuk bekerjasama erat dalam memastikan kelancaran trafik di kedua-dua arah (arah masuk dan arah keluar) berada di tahap optimum dan sentiasa bersiap siaga dengan sebarang trafik luar jangka," katanya menerusi hantaran di Facebook, malam tadi.
Beliau turut menzahirkan jutaan penghargaan kepada seluruh petugas dan agensi terlibat yang bertugas siang dan malam di CIQ BSI dan KSAB.
"Saya berbangga dengan perubahan positif yang amat ketara dan berharap momentum ini kekal konsisten.
"Semoga dipermudahkan segala urusan," katanya yang sebelum itu bertemu dengan pengurusan BSI dan KSAB.
Sabtu lepas, Onn Hafiz mencadangkan agar laluan kontra dibuka khusus bagi pengembara yang menggunakan laluan pejalan kaki dan pengangkutan awam, terutama sewaktu musim cuti sekolah atau cuti panjang.
Ia ekoran kesesakan luar biasa di BSI dan KSAB sejak 1 Jun ekoran musim cuti sekolah, cuti umum dan cuti hujung minggu.
Pada 1 Jun, lebih 258,000 pengembara direkod menggunakan laluan BSI dan 63,000 pengembara menggunakan laluan KSAB.
-- BERNAMA