Kaedah bayaran zakat fitrah dan zakat harta sepanjang tempoh PKP di Perak

Aida Aziz
April 16, 2020 13:26 MYT
Kaedah bayaran secara langsung terus kepada Amil hanya akan dilaksanakan dalam dua keadaan sekiranya warga tua yang uzur dan tidak mempunyai kemahiran menggunakan kemudahan atas talian.
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menyarankan tiga kaedah utama yang boleh dilaksanakan untuk membayar zakat fitrah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini.
Antaranya ialah bayaran menerusi saluran atas talian (online), bayaran melalui amil (kaedah manual) dan bayaran terus melalui Tabung Khas Fitrah.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari, lazimnya sebelum ini pembayaran zakat fitrah di buat melalui amil fitrah yang berada di masjid, surau atau pusat membeli-belah.
"MAIPk menyediakan kemudahan bayaran secara online dengan beberapa pilihan dan platform seperti QR Code Maybank, aplikasi Snap N Pay, Financial Process eXchange (FPX) melalui Portal MAIPk.
"Tatacara kutipan zakat fitrah oleh amil pula dengan kaunter drive-thru, ia akan diwujudkan di masjid-masjid utama daerah dan juga masjid yang berada di tepi jalan besar.
"Ia akan beroperasi dalam tempoh masa yang terhad antara jam 9 pagi hingga 12 tengahari (Selasa dan Rabu serta Sabtu dan Ahad). Amil yang dilantik akan bertugas secara penggiliran.
"Penjarakan sosial juga akan dikawal selia dan tiada proses bersalaman dibenarkan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ujarnya, kaedah bayaran secara langsung terus kepada amil hanya akan dilaksanakan dalam dua keadaan sekiranya warga tua yang uzur dan tidak mempunyai kemahiran menggunakan kemudahan atas talian.
Selain masyarakat yang berada di kawasan komuniti pedalaman dan perkampungan yang tidak mempunyai kemudahan alat komunikasi dan akses internet yang baik.
Dalam pada itu, bagi Tabung Khas Fitrah pula, ia akan diwujudkan di masjid, hospital dan pejabat polis terpilih bagi memudahkan masyarakat dan petugas barisan hadapan menunaikan zakat fitrah.
Jelasnya,pembayar hanya perlu memasukkan jumlah fitrah, maklumat pembayar dan nombor telefon ke dalam sampul, seterusnya memasukkannya ke dalam tabung berkenaan.
Kupon Fitrah akan diberi kepada pembayar setelah tamah tempoh PKP.
Sementara itu, kadar zakat fitrah di negeri itu masih kekal dengan kadar pilihan RM7, RM14 dan RM21.
"Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak telah membenarkan masyarakat yang kurang berkemampuan membayar zakat fitrah bagi diri dan tanggungannya, harus menjelaskan sebahagian pada kadar kemampuannya.
"Contohnya, seperti dia dan tanggungannya ada 8 orang, jika dia hanya mampu menjelaskan bayaran zakat fitrah hanya bagi 5 orang, maka dia telah pun menunaikan ibadah zakat tersebut," katanya.
Tambahnya, bagi bayaran zakat harta pula dilakukan menerusi atas talian iaitu FPX Portal MAIPk, Online Banking, MyEG, JomPay, SnapNPay dan GoPayZ.
#Aidilfitri #coronavirus #COVID-19 #fitrah #koronavirus #online #penjarakan sosial #PKP #Shahrul Azam Shaari #zakat
;