Kaedah bayaran balik pinjaman PTPTN diumum bulan depan
Bernama
November 15, 2018 16:13 MYT
November 15, 2018 16:13 MYT
Kaedah pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan diumumkan bulan depan, kata pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan.
Beliau berkata pengumuman itu akan memperincikan pembayaran balik berdasarkan potongan gaji dan pelepasan cukai pendapatan individu bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
Beliau berkata pihaknya kini sedang menunggu maklumat terperinci sebelum merangka kaedah pelaksanaan selepas pengumuman Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengenai peruntukan dan dasar baharu pinjaman PTPTN pada Pembentangan Belanjawan 2019 baru-baru ini.
"Saya rasa apabila (peminjam PTPTN) mendengar pengumuman itu nanti, mereka akan nampak macam mana caranya (untuk membayar balik pinjaman).
"...kerana kita akan pastikan mereka yang berpendapatan rendah masih lagi dibantu dan tidak akan disukarkan kehidupan mereka dengan pembayaran yang tinggi kerana yang pentingnya peminjam harus membayar balik pinjaman," katanya.
Wan Saiful ditemui pemberita selepas menganggotai panel jemputan Seminar Pemerkasaan Integriti Negeri Perak anjuran Institut Integriti Malaysia dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di sini hari ini.
Wan Saiful berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan masyarakat setempat bagi mendapatkan maklum balas mengenai kaedah pelaksanaan pinjaman berkenaan.
"Mereka yang mementingkan prinsip kebertanggungjawaban (membayar balik pinjaman), saya rasa itu adalah berita baik bagi mereka yang nak membantu para pelajar pada masa akan datang kekal mendapat pinjaman daripada PTPTN.
"Bagaimanapun, ada mereka yang sengaja mahu mempolitikan isu ini. Kita sudah berterus terang tidak mampu untuk lakukan (penangguhan bayaran balik pinjaman) disebabkan masalah (hutang) yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu," katanya.
-- BERNAMA