Kaedah baharu diteliti gantikan Op Benteng - Panglima ATM
Astro Awani
Mac 15, 2022 18:56 MYT
Mac 15, 2022 18:56 MYT
KOTA TINGGI: Satu kaedah baharu akan diperkenalkan bagi menggantikan Operasi Benteng (Op Benteng) yang bakal ditamatkan pada pertengahan tahun ini.
Kaedah baharu itu dijangka mengguna pakai cara yang hampir sama dengan Op Benteng sedia ada memandangkan operasi terbabit banyak mencapai kejayaan sejak dilancarkan pada Mei 2020.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, perkara itu sudah dibincangkan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan akan diumumkan selepas persetujuan dimeterai.
Menurut beliau, biarpun dengan kaedah atau cara baharu, apa pun operasi dilancarkan ia boleh dilaksanakan bagi memperkasakan kawalan sempadan negara.
“Perkara tersebut telah dibincangkan bersama MKN untuk kita lihat hala tuju yang baharu. Secara peribadi saya ingin nyatakan di sini bahawa hala tuju tersebut haruslah melihat dan juga mengunakan good practices yang kita ada dalam Op Benteng. Apa yang berlaku selepas ini akan diumum kemudian, lepas kita dapat satu perancangan yang dimeteraikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan tinjauan pelaksanaan Op Benteng Khas Siri Dua (OBK2) Sektor Lapan Johor di KD Sultan Ismail, Tanjung Pengelih di Pengerang, pada Selasa.
Turut hadir, Komander National Task Force (NTF), Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah dan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana (M) Datuk Mohd Zubil Mat Som.
Affendi berkata, Op Benteng dilihat sebagai satu operasi bersepadu bersama pasukan keselamatan lain yang berjaya memperkasakan kawalan sempadan negara.
Sementara itu, Effendi berkata OBK2 itu dilaksanakan di pesisir pantai negeri Johor berdasarkan statistik kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tinggi selain kawasan itu antara lokasi panas dan tumpuan PATI masuk ke negara ini.
OBK2 yang bermula Ahad hingga esok itu dilaksanakan di bawah NTF membabitkan 18 agensi yang melaksanakan rondaan serta memperagakan kehadiran serta menguatkuasakan undang-undang di kawasan perairan dan pesisir pantai negeri Johor.
Untuk rekod, sepanjang Op Benteng dilaksanakan, Johor mencatatkan 4,331 tangkapan PATI dengan jumlah rampasan keseluruhan di negeri ini adalah lebih RM175 juta.