Kadir Mohamad terima anugerah IDFR-Albukhary Book Award
Umavathi Ramayah
Disember 9, 2021 18:37 MYT
Disember 9, 2021 18:37 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Kadir Mohamad terpilih untuk menerima anugerah khas Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR)-Albukhary Book Award 2021 menerusi hasil tulisan, Malaysia-Singapore: 50 Years of Contentions 1965-2015.
Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah bagi Anugerah Buku Perhubungan Antarabangsa Cemerlang bersempena dengan ulang tahun ke-30 IDFR.
Pemilihan buku itu dilakukan oleh jawatankuasa yang dianggotai lima panel bagi kategori buku yang ditulis antara tahun 2015 dan 2020 dalam bidang diplomasi dan hubungan antarabangsa.
Saifuddin menjelaskan, pemberian anugerah itu diyakini akan menggalakkan lebih ramai penulis tempatan untuk menghasilkan karya hubungan antarabangsa yang berkualiti.
"Jawatankuasa pemilihan menerima sejumlah 80 buku daripada penulis tempatan yang menulis mengenai diplomasi dan perhubungan antarabangsa. Bagaimanapun jawatankuasa pemilihan sebulat suara bersetuju untuk memilih buku hasil Tan Sri Abdul Kadir untuk menerima anugerah itu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.
Kata Saifuddin lagi, pemilihan itu dilakukan atas beberapa justifikasi termasuk pengetahuan yang menggabungkan aspek teoritikal dan praktikal yang ditekankan dalam praktis diplomasi negara.
"Selain itu kandungan buku itu juga memberi pengetahuan mengenai dasar dua hala dalam meningkatkan dimensi dasar luar Malaysia.
"Pada masa yang sama, beberapa penerangan mengenai dokumen rasmi yang diterangkan dalam buku itu juga menjadi nilai tambahan kepada pemilihan buku itu, yang kita yakin ia berfungsi sebagai 'buku teks' dan rujukan kepada generasi akan datang," ujarnya lagi.
#Kementerian Luar
#Saifuddin Abdullah
#Anugerah Cemerlang
#Malaysia-Singapore 50 Years of Contentions