A Kadir Jasin letak jawatan

Astro Awani
Jun 9, 2018 14:31 MYT
A KADIR: Saya menulis atas kapasiti sebagai seorang blogger dan tiada kaitan dengan sebarang jawatan yang mungkin saya pegang.
Datuk A Kadir Jasin hari ini meletakkan jawatan sebagai Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan, berkuat kuasa serta-merta.
Ketika dihubungi Astro AWANI, beliau berkata keputusan itu dibuat kerana tidak mahu membebankan sesiapa dengan 'masalah' yang dihadapinya.
“Ia mudah.. Saya tidak boleh membuat justifikasi tentang tindakan saya. Tapi sebagai wartawan sejati, saya perlu berundur.
“Saya tidak takut pada sesiapa. Apabila anda tidak ada perasaan takut kepada manusia, anda boleh lakukan apa saja yang anda mahukan.
“Apa saja yang terjadi akibat pandangan saya kebelakangan ini, adalah lebih baik jika saya yang menanggungnya,” kata beliau, selain menegaskan bahawa dia seorang yang berfikiran terbuka.
Sementara itu di blognya, bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP itu menjelaskan bahawa segala pendapat yang dizahirkan menerusi blog adalah pendapat peribadinya semata-mata.
“Saya menulis atas kapasiti sebagai seorang blogger dan tiada kaitan dengan sebarang jawatan yang mungkin saya pegang.
"Bagaimanapun, wartawan dan pihak lain yang memetik pandangan saya terus mengaitkannya dengan kedudukan saya sebagai Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan,” katanya.
Tambahnya, keputusan itu dibuat demi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan anggota masyarakat berkaitan peranannya dalam majlis tersebut, serta pandangan yang disampaikan dalam blog dan kolum mingguan di akhbar Sinar Harian.
Jelasnya lagi, keputusan mengundur diri itu telah dipersetujui oleh Pengerusi Majlis, Tun Daim Zainuddin.
#A Kadir Jasin #ketua media dan komunikasi #letak jawatan #Majlis Penasihat Kerajaan
;