Kadar zakat fitrah Negeri Sembilan RM7.50, RM12 dan RM22

Bernama
Februari 27, 2025 19:41 MYT
Penetapan itu berdasarkan kajian harga beras mengikut gred dan jenis dimakan kebanyakan penduduk Islam negeri itu pada kadar timbangan satu gantang bersamaan 2.751 kilogram. - Gambar hiasan
SEREMBAN: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) menetapkan tiga kadar zakat fitrah iaitu RM7.50, RM12 dan RM22 tahun ini.
Pengerusi MAINS Datuk Seri Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir berkata penetapan itu berdasarkan kajian harga beras mengikut gred dan jenis dimakan kebanyakan penduduk Islam negeri itu pada kadar timbangan satu gantang bersamaan 2.751 kilogram.
Beliau berkata pewartaan kadar zakat fitrah ditetapkan RM7.50 untuk pengguna beras super tempatan (SST) lima peratus, RM12 melibatkan beras super import, super wangi dan herba ponni manakala RM22 kepada mereka menggunakan beras super basmati.
"Pada tahun ini, kita memperkenalkan aplikasi MyAmil Fitrah, iaitu inisiatif digital inovatif bagi mempermudah dan mempertingkatkan kecekapan sistem kutipan zakat fitrah dengan sasaran keseluruhan RM8 juta tahun ini berbanding RM7.5 juta tahun lepas.
"Aplikasi ini penting dalam usaha pendigitalan sistem zakat bagi memastikan proses kutipan yang efisien, telus dan selamat, selain membantu amil menguruskan kutipan secara dalam talian tanpa penggunaan kupon fizikal serta membolehkan bayaran melalui kod respons pantas (QR)," katanya pada kepada pemberita di sini hari ini.
Abdul Aziz berkata bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam menunaikan ibadah itu, MAINS menyediakan kaedah pembayaran bersemuka di kaunter menerusi 1,250 amil ditauliah selain turut boleh dilaksanakan secara dalam talian menerusi www.zakatns2u.biz/fitrah, MAINS Pay serta JomPAY.
Orang ramai boleh menghubungi MAINS di 06-7651402 atau menerusi laman web www.mains.gov.my untuk pertanyaan atau jika menghadapi masalah berkaitan pembayaran zakat.
Pada perkembangan berkaitan, Abdul Aziz berkata MAINS akan membelanjakan hingga lebih RM17 juta wang zakat bagi pengagihan pelbagai bantuan termasuk keperluan asas kepada fakir, miskin dan asnaf sepanjang Ramadan, selain pemberian khas kepada 311 masjid dan 1,169 surau sebanyak RM5.1 juta.
-- BERNAMA
#zakat fitrah #Negeri Sembilan #Ramadan 2025 #MAINS
;