Kadar zakat fitrah di Perak lebih tinggi, ini penjelasan MAIPk
Abd Razak Mohd Ali
Februari 27, 2025 15:50 MYT
Februari 27, 2025 15:50 MYT
Zamri berkata, bayaran zakat fitrah bagi negeri Perak adalah berasaskan makanan ruji di negeri ini bersamaan kepada satu gantang Baghdad beras. - Gambar fail
IPOH: Kadar zakat fitrah di Perak bagi Ramadan tahun ini ditetapkan pada kadar lebih tinggi daripada kebiasaan iaitu RM10, RM16, dan RM27 seorang, mengikut jenis serta gred beras yang dimakan.
Ringkasan AI
- Kadar zakat fitrah di Perak bagi Ramadan tahun ini ditetapkan pada RM10, RM16, dan RM27 seorang, bergantung kepada jenis dan gred beras yang dimakan.
- Kadar ini diumumkan oleh Timbalan Mufti Perak dan telah mendapat perkenan Sultan Perak. Bayaran zakat fitrah boleh dilakukan menggunakan wang tunai yang sama nilainya dengan satu gantang beras.
- Kadar yang lebih tinggi ini ditetapkan berdasarkan kajian oleh MAIPk, mengambil kira harga beras tempatan dan import serta data daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Kadar itu diumumkan Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim, mewakili Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang juga Mufti Negeri Perak Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh pada majlis pengumuman kadar zakat fitrah tahun 1446H / 2025M dan peluncuran awal aplikasi MAIPk Bestari di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Menurutnya, bayaran zakat fitrah bagi negeri Perak adalah berasaskan makanan ruji di negeri ini bersamaan kepada satu gantang Baghdad beras.
“Sesuai dengan peredaran masa, bayaran zakat fitrah dibolehkan dengan menggunakan wang tunai yang sama nilainya satu gantang beras,” katanya ketika mengumumkan kadar itu
Beliau berkata, Jawatankuasa Fatwa kali ke 236 pada 13 Disember 2024 telah mengangkat sembah perakuan kadar bayaran zakat fitrah itu untuk mendapat perkenan Sultan Perak.
Tambahnya, titah perkenan baginda telah dibentangkan dan diterima oleh Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) pagi ini.
Menurutnya, kadar zakat fitrah yang wajib dibayar oleh orang Islam bagi tahun ini di negeri Perak adalah RM10 bagi beras pilihan utama untuk individu yang menggunakan beras Madani, beras super spesial tempatan dan beras putih super import.
“RM16 bagi beras pilihan kedua untuk pengguna beras rebusan, beras perang dan beras wangi dan RM27 bagi beras pilihan ketiga untuk pengguna beras basmathi dan beras pulut,” ujarnya.
Sementara itu, menjelaskan mengenai kadar lebih tinggi berbanding negeri lain, beliau berkata ia ditetapkan selepas MAIPk membuat kajian tahun lalu, berdasarkan data daripada Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Jadual Ketetapan Makanan Asas 2024, Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara.
"Di situ kita dapat harga beras dan MAIPk melalui mekanisme mengkaji beras mana yang paling banyak dimakan di negeri Perak iaitu beras tempatan dan juga beras import.
"Oleh kerana kekurangan beras tempatan, ada dirumuskan, dipanggil KPKM... buat beras Madani... campuran daripada dua inilah. Dan kita tengok pula harga, rupanya beras Madani ini sekilogram lebih kurang RM4.10.
"Kalau ditukar kepada gantang Baghdad pada 2.6 kilogram, kilo lebih kurang RM10... jadi dibundarkan kepada RM10," katanya.