Kadar zakat fitrah di Kedah kekal RM7
Bernama
Julai 9, 2013 17:14 MYT
Julai 9, 2013 17:14 MYT
Kadar zakat fitrah bagi negeri Kedah pada tahun ini kekal RM7, kata Penolong Setiausaha Jabatan Zakat Kedah, Redzuan Ahmad.
Redzuan berkata penetapan kadar zakat fitrah dilakukan selepas mengambil kira harga semasa beras.
Katanya pihaknya telah melantik lebih 500 amil masjid bagi menjalankan urusan mengutip zakat fitrah di 552 masjid di negeri ini serta turut menyediakan kaedah pembayaran menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS).
"Tak ada alasan untuk orang Islam tidak membayar zakat fitrah. Kita dah sediakan kemudahan dan tempat untuk mereka berbuat demikian. Kalau tak sempat, bayar melalui SMS pun boleh dan kita tak kenakan sebarang cas tambahan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya mensasarkan kutipan zakat fitrah RM7.1juta tahun ini berbanding RM6.9 juta tahun lepas.
Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari laman web Jabatan Zakat Kedah www.zakatkedah.com atau terus menghubungi pejabat zakat.