Kadar zakat fitrah di Kedah bermula RM6.50
Abd Hadi Che Awang
Mac 20, 2023 15:01 MYT
Mac 20, 2023 15:01 MYT
ALOR SETAR: Empat kadar bayaran zakat Fitrah ditetapkan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) melibatkan penduduk di negeri itu pada tahun ini berbanding hanya tiga tahun lalu.
Pengerusi LZNK, Datuk Norizan Khazali memaklumkan, kadarnya adalah sebanyak RM6.50 bagi pengguna beras jenis super spesial tempatan 10 peratus hancur dan RM7 untuk beras super spesial tempatan lima peratus hancur.
Bagi pengguna beras jenis super import, beras perang, beras pulut, herba ponni, serta beras wangi, kadarnya adalah sebanyak RM14 manakala RM21 untuk pengguna beras jenis basmati, beras Jepun dan beras merah.
Tambahnya, penetapan kadar berkenaan dibuat berdasarkan harga beras mengikut gred yang dimakan umat Islam di negeri Kedah pada kadar timbangan sebanyak 2.6 kilogram.
Beberapa faktor lain turut diambil kira termasuk kedudukan geografi sawah padi, jenis tanaman padi, dan kekerapan pengambilan padi dalam masa satu tahun.
"Tahun lepas kita ada tiga (kadar iaitu) RM7, RM14 dan RM21, tetapi kita tambah satu lagi yang RM6.50 (untuk tahun 2023), kadar yang itu adalah untuk beras spesial hancur 10 peratus, sebab ramai rakyat Kedah yang pakai beras itu, jadi kita nak bagi kadar yang sepatutnya dia bayar.
"Ada pengurangan berbanding RM7 tahun lalu, kadang-kadang ada (keluarga atau individu) yang tidak mampu, dia pakai beras itu, (jadi) dia (perlu) bayar harga RM6.50 sahaja," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Zakat Fitrah Online dan Program Jom Sedekah Food LZNK di Menara Zakat Zakat, Alor Setar pada Isnin.
Dalam perkembangan sama, Norizan memaklumkan bahawa LZNK menyasarkan kutipan zakat fitrah sebanyak RM12.4 juta pada tahun ini berbanding RM11.7 juta pada tahun lalu.
Sementara itu, sebagai usaha memudahkan orang ramai membayar zakat, LZNK akan meneydiakan 27 saluran pembayaran secara atas talian melalui portal dan aplikasi Portal Jom Zakat, Zakat On Touch dan MyAmil.
Kiosk layan diri turut disediakan di Lembaga Zakat Negeri Kedah selain 13 platform perbankan internet serta lain-lain aplikasi perkhidmatan.
LZNK juga turut menggalakkan orang ramai bersedekah di seluruh kaunter sedia ada selain kepada amil-amil yang dialntik dengan kupon RM5 dan RM50 yang disediakan.