Kadar vaksinasi harian negara lepasi kadar purata per kapita dunia - Khairy

Afiezy Azaman
Julai 3, 2021 14:40 MYT
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata sasaran 300,000 suntikan harian pada bulan Julai dijangka dapat dicapai. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kadar vaksinasi harian COVID-19 negara telah melepasi kadar purata per kapita vaksinasi dunia.
Ini susulan kadar purata vaksinasi harian negara pada bulan Jun melepasi sasaran 150,000 suntikan dan secara konsisten mencatatkan 250,000 suntikan harian sejak kebelakakangan ini.
Justeru itu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata sasaran 300,000 suntikan harian pada bulan Julai dijangka dapat dicapai.
“Pada penghujung Mei lalu jumlah individu yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin adalah sebanyak 5.9 peratus populasi negara sekarang jumlahnya ialah 18 peratus.
“Dengan kata lain jumlah penerima dos pertama meningkat sebanyak 200 peratus pada bulan Jun,” katanya dalam muat naik video di Twitter, pada Sabtu.
Vaksinasi Harian | Lepasi kadar purata per kapita vaksinasi dunia
Dalam perkembangan sama Khairy mensasarkan golongan warga emas akan selesai divaksinasi menjelang akhir bulan Julai.
“Seperti mana diketahui umum kumpulan berisiko tinggi menjadi keutamaan dalam PICK, sehingga hari ini sebanyak 60 peratus warga emas berdaftar telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.
“Kita berharap vaksinasi daripada golongan warga emas ini dapat diselesaikan menjelang akhir bulan ini dan kita juga tidak sesekali meminggirkan golongan OKU..PPV secara pandu lalu dan PPV khas bagi OKU penglihatan telah dibuka bagi memenuhi keperluan ini,” jelasnya.
Katanya lagi, garis panduan baharu buat wanita mengandung dan ibu menyusu juga telah dikemas kini dan ramai yang telah menerima janji temu vaksin bagi golongan tersebut.
#Khairy Jamaluddin #warga emas #COVID-19 #vaksin #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #suntikan #dos pertama #PICK #PPV #OKU
;