Kadar vaksinasi di Sabah terus meningkat, walaupun kes positif empat angka
Syafik Shukri Jalil
September 10, 2021 17:51 MYT
September 10, 2021 17:51 MYT
KUALA LUMPUR: Kadar vaksinasi di Sabah berada pada landasan yang baik biarpun angka kes positif kekal merekodkan kes empat angka dengan 2,246 kes dilaporkan pada Jumaat.
Menurut Jurucakap Kerajaan Sabah berkaitan COVID-19, Datuk Seri Masidi Manjun, setakat Khamis, 49.5 peratus penduduk dewasa negeri itu sudah melengkapkan dua dos vaksin manakala 65.8 peratus sudah menerima satu dos vaksin COVID-19.
‘’Menerusi statistik oleh Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) setakat Rabu, 100 peratus penduduk dewasa di daerah Beaufort dan Putatan telah menerima satu dos vaksin.
‘’Ia diikuti Kuala Penyu dengan 94 peratus, Kota Kinabalu (86.7 peratus) dan Sipitang (81.5 peratus),’’ katanya dalam kenyataan ringkas.
Selain itu, Masidi menambah, saringan kontak rapat kekal penyumbang utama dengan 1,247 atau 55.5 peratus, saringan individu bergejala dengan 714 kes atau 31.8 peratus.
Manakala, katanya 102 kes dikesan daripada kluster sedia ada dan 182 kes dikesan dari saringan lain.
‘’712 kes atau 31.77 peratus merupakan kes kategori satu, 1,473 atau 65.6 peratus kategori dua dan empat kes kategori tiga.
‘’Selebihnya dua kes kategori empat, satu kes kategori lima dan 54 kes lagi masih dalam siasatan,’’ tambahnya.