Kadar Tol Jambatan Kedua Pulau Pinang tidak lebih RM10 - JKSB

Bernama
Februari 27, 2014 08:06 MYT
Jambatan Kedua Pulau Pinang bernilai RM4.5 bilion telah siap dan dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu ini. --fotoBERNAMA
Kadar tol di Jambatan Kedua Pulau Pinang adalah tidak melebihi RM10, menurut syarikat pemegang konsesi Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB).
Pengarah Urusannya Datuk Dr Ismail Mohamed Taib berkata JKSB mencadangkan kadar tol RM7 kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia tetapi keputusan muktamad hanya akan diumumkan pada 1 Mac.
"Kadar tol adalah kurang daripada RM10 tetapi melebihi RM7. Jika kadarnya terlalu tinggi, tidak banyak kenderaan akan menggunakannya," katanya kepada pemberita selepas lawatan suai kenal media di plaza tol Batu Kawan, di sini, Rabu.
Ismail berkata JKSB berharap untuk memperoleh keuntungan dalam tempoh 10 tahun dengan 100,000 kenderaan dijangka menggunakan jambatan itu di tengah-tengah kepesatan pembangunan Batu Kawan terutama kawasan perindustrian.
Jambatan berharga RM4.5 bilion itu, yang menghubungkan Batu Maung di bahagian pulau dengan Batu Kawan di tanah besar, dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Sabtu ini dan dibuka kepada kenderaan pukul 12.01 tengah malam, Ahad.
Ismail berkata tender bagi pembinaan dua Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) akan dipanggil dalam tempoh enam bulan akan datang membabitkan kos RM60 juta dan dijangka siap dalam masa tiga tahun.
#Jambatan Kedua Pulau Pinang #Jambatan Kedua Sdn Bhd #JKSB #Najib Tun Razak
;