Kadar subsidi harga padi naik kepada RM500 per metrik tan mulai esok - PM Anwar
Amirrul Rabbani
Ogos 8, 2023 12:25 MYT
Ogos 8, 2023 12:25 MYT
PARIT BUNTAR: Kerajaan bersetuju menaikkan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per metrik tan kepada RM500 per metrik tan berkuat kuasa esok.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi inisiatif itu setiap seorang pesawah di negara ini akan menerima sekurang-kurangnya RM1,700 bagi setiap metrik tan padi yang dituai.
Menurutnya, perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat bersama pegawai Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Kewangan sebelum ini.
"Ini merupakan kenaikan (kadar SSHP) terbesar dalam sejarah. Kenaikan paling tinggi dibuat semasa Anwar Ibrahim jadi Menteri Kewangan sebelum ini (tahun 90-an).
"Kini, jadi Menteri Kewangan (sekali lagi), dan kita menaikkan kadar subsidi itu," katanya ketika berucap pada Program Sentuhan Agro Madani Peringkat Negeri Perak di Dataran Kerian Permai, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri KPKM Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Anwar berkata, kenaikan yang diumumkan itu melibatkan implikasi kewangan tambahan sekitar RM360 juta setahun, sekali gus meningkatkan jumlah peruntukan SSHP kepada RM1 bilion setahun.
Dalam ucapannya, beliau turut secara berseloroh menyindir pihak yang sebelum ini sering menyerangnya secara peribadi dengan memetik ungkapan ‘hari ini umum, esok turun’.
“Hari ini kita umum, esok naik (kadar SSHP baharu). ‘Hampa peleceh’ dekat aku lagi, kata hari ini berkuasa, esok turun. Tetapi hari ini kita umum, esok naik subsidi harga padi di seluruh negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan akan menyemak semula mekanisme penggredan padi berdasarkan parameter pengilangan bagi menjamin harga yang berpatutan dan adil kepada pesawah padi.
Ia juga, katanya, bagi mengelak pengilang bertindak sesuka hati tanpa mengikut standard ditetapkan.
“Saya sudah berbincang dengan KPKM untuk kita melatih pegawai pertanian khusus yang akan ditempatkan di kilang-kilang (pemprosesan padi) swasta bagi memantau secara bebas.
“Ia supaya pengilang swasta tidak potong beras basah ikut selera mereka sahaja. Sebaliknya, kena ikut syarat tertentu berdasarkan kepada undang-undang," tambahnya.
Sementara itu, Anwar juga berkata, KPKM akan mempertimbang untuk menambah peruntukan bagi pelaksanaan inisiatif tanaman padi lima musim dalam dua tahun.
“Belanja untuk buat tali air dan sebagainya yang RM3 bilion itu tidak cukup. Kena tambah lagi. Untuk petani ini, kita cuba tambah. Kita buat yang sebaiknya," kata beliau.