Kadar sewa bazar Ramadan Putrajaya diturunkan - PM Anwar

Umavathi Ramayah
April 6, 2023 18:32 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan peniaga selepas melancarkan Program Jualan Agro Rahmah bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya, petang ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penurunan kadar sewa lot bazar Ramadan dari RM1,000 kepada RM850 kepada penjaja dan peniaga kecil di bawah Perbadanan Putrajaya.
Beliau berkata ia adalah sebagai inisiatif kerajaan bagi mengurangkan bebanan kumpulan itu yang terpaksa menanggung kos tambahan RM150 berbanding kadar sewa yang ditetapkan pada tahun-tahun sebelum ini.
“Saya dapati Perbadanan Putrajaya telah menaikkan kadar sewa bagi bazar Ramadan Putrajaya di Presint 3 kepada RM1,000 bagi setiap lot.
“Bagi membantu para penjaja dan peniaga kecil kos mengurangkan kos operasi, sukacitanya saya umumkan pengurangan kadar sewa ini kepada RM850 sebulan sebagaimana tahun-tahun sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Jualan Agro Rahmah Bazar Ramadan Presint 3, di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, setakat ini pengurangan kadar sewa lot bazar hanya ditetapkan sepanjang bulan Ramadan.
Namun begitu katanya, sekiranya ia mendapat sambutan mengalakkan, kerajaan mungkin akan meluaskan inisiatif itu.
#Bazar Ramadan #kadar sewa turun #Anwar Ibrahim #Putrajaya
;