Kadar PSC di KLIA2 tidak jejas kemasukan pelancong asing
Bernama
Disember 23, 2017 04:09 MYT
Disember 23, 2017 04:09 MYT
Kemasukan pelancong asing ke negara ini tidak akan terjejas berikutan penyelarasan caj perkhidmatan penumpang (PSC) bagi destinasi antarabangsa selain ASEAN di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) bermula 1 Januari depan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata ini kerana kadar PSC berkenaan sebanyak RM73 adalah terendah di dunia.
Sambil menyelar dakwaan Anggota Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua, Ab Aziz berkata langkah penyelarasan kadar PSC itu selaras dengan garis panduan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
“Peraturan antarabangsa ICAO tidak melakukan amalan diskriminasi dengan memberi caj istimewa kepada mana-mana lapangan terbang.
"Sebab itu, kita ingin mewujudkan industri yang lebih adil. Setakat ini kemasukan pelancong ke Malaysia terus meningkat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Zapin Terbuka Belia Malaysia di sini pada Sabtu.
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengumumkan caj PSC antarabangsa di KLIA2 akan dinaikkan kepada RM73 berkuat kuasa 1 Januari ini, bersamaan kadar pelepasan antarabangsa di semua lapangan terbang lain di Malaysia yang dinaikkan sejak Januari 2017.
Malah, PSC bagi pelepasan ASEAN diselaraskan kepada tahap lebih rendah, iaitu RM35 yang memberi manfaat kepada sebilangan besar rakyat Malaysia.
Mengulas lanjut, Ab Aziz berkata Tony Pua adalah ahli politik yang hanya melihat dari satu sudut sahaja dan tidak hanya dalam industri penerbangan manakala Mavcom melihat dari semua sudut termasuk ekonomi secara holistik.
Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Datuk Badlisham Ghazali berkata kutipan PSC itu akan digunakan untuk menaik taraf kemudahan di lapangan terbang kendalian MAHB.
“Kadar PSC di KLIA2 adalah menyamai PSC di lapangan terbang yang memberi perkhidmatan pelepasan antarabangsa seperti di Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, Langkawi dan Senai.
“Tony Pua selalu membandingkan kemudahan KLIA dan KLIA2. KLIA2 mempunyai sistem pengendalian bagasi yang paling moden berbanding KLIA. Itulah kelebihan KLIA2 yang KLIA tidak ada,” katanya.
Sepanjang Januari hingga November tahun ini, KLIA mencatat kira-kira 38 juta pergerakan penumpang antarabangsa dan ini merangkumi lebih 70 peratus jumlah keseluruhan penumpang ke negara ini.
Mengulas isu kes pembolosan warga asing di KLIA, Badlisham menegaskan MAHB sentiasa meningkatkan usaha agar KLIA dan Malaysia tidak dilabel sebagai transit penyeludupan imigran.
Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan sesiapa sahaja termasuk agensi penguatkuasa untuk membanteras dan mengawal aktiviti itu kerana ia adalah tanggungjawab semua pihak dalam menjaga reputasi Malaysia.
-- BERNAMA
#Ab Aziz Kaprawi
#Badlisham Ghazali
#Caj Perkhidmatan Penumpang
#ICAO
#KLIA
#KLIA2
#MAHB
#mavcom
#Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa
#PSC
#Tony Pua