Kadar promosi Kompleks Parkir Gombak dilanjutkan

Astro Awani
April 3, 2013 18:36 MYT
Kadar promosi RM4 sekali masuk di Kompleks Parkir Bertingkat di Stesen LRT Gombak akan dilanjutkan hingga hujung tahun ini.
Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) sebuah badan yang menguruskan kompleks itu bakal mengkaji kadar sedia ada dalam tahun 2014.
"Melalui pengumuman ini, kami berharap lebih ramai yang bakal menggunakan LRT. Tiada kesesakan, lebih jimat dan memudahkan jika berbanding memandu dalam kesesakan di bandar," menurut Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Rudyanto Azhar.
Dibina dengan kos hampir RM30 juta, kompleks itu dihubungkan ke stesen LRT Gombak menyediakan 1,260 lot parking termasuk 158 ruang eksklusif untuk pemandu wanita dan 24 ruang bagi pemandu OKU di tingkat bawah.
Menteri pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha telah merasmikan kompleks tersebut pada 1 Mac lalu dibina oleh Prasarana yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk menyemarakkan penggunaan pengangkutan awam di kalangan orang ramai.
Rudyanto berkata sistem operasi parkir menggunakan kad MyRapid, kad prabayar prasarana yang boleh digunakan sewaktu menaiki LRT dan monorail.
#Kong Cho Ha #LRT #MyRapid #NKRA #OKU #Parkir Gombak #prasarana
;