Kadar perkhidmatan E2E dipertingkat di setiap kementerian, jabatan dan agensi - JPA

Bernama
April 3, 2021 09:36 MYT
JPA menggesa semua pihak bersama-sama melihat keperluan bagi menilai semula prosedur-prosedur semasa agar dapat ditambah baik bagi meningkatkan produktiviti dan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
PUTRAJAYA: Kadar perkhidmatan End-to-End (E2E) akan dipertingkatkan di setiap kementerian, jabatan dan agensi bagi memastikan keberkesanannya.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata perluasan adaptasi digital dalam norma baharu perkhidmatan awam adalah selari dengan hasrat kerajaan ke arah sistem yang berteraskan kerajaan digital.
"Bagi Penjawat Utama Perkhidmatan Awam penambahan 10 peratus daripada penyampaian E2E semasa akan dikenakan sebagai Indeks Prestasi Utama (KPI) 2021," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata pendekatan ini akan memberi nilai tambah dan memperkasa penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada pelanggan seterusnya meningkatkan kecekapan tadbir urus dalaman kementerian, jabatan dan agensi.
Katanya, penilaian dan penambahbaikan yang berterusan ini dapat memberikan nilai tambah ke arah penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih efektif dan memenuhi keperluan semasa dalam mendepani cabaran pada masa kini.
Mohd Khairul Adib berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga menyahut saranan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memperkasakan penyampaian perkhidmatan awam menerusi semakan semula prosedur sedia ada yang perlu diubah dan ditambah baik, bersesuaian dengan keadaan dan situasi semasa.
Sehubungan itu, beliau berkata JPA secara berterusan sentiasa menyemak pekeliling dan surat pekeliling sedia ada bagi memastikan ia relevan dan bertepatan dengan keperluan semasa.
Katanya, semua pekeliling dan surat pekeliling perkhidmatan yang telah melalui proses semakan semula, penambahbaikan dan penggabungan Pekeliling turut dimuat naik ke portal JPA menerusi MyPPSM (Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia) bagi tujuan rujukan.
"Justeru, pihak JPA menggesa agar semua pihak di peringkat kementerian, jabatan dan agensi kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan, negeri mahupun daerah untuk bersama-sama melihat keperluan bagi menilai semula prosedur-prosedur semasa agar dapat ditambah baik bagi meningkatkan produktiviti dan penyampaian perkhidmatan kerajaan," katanya.
Menurut Mohd Khairul Adib, inisiatif penambahbaikan pekeliling atau prosedur adalah untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan.
Beliau berkata pemantapan sumber manusia perkhidmatan awam adalah salah satu daripada empat faktor utama dalam perubahan yang sedang dilaksanakan bagi memantapkan penyampaian perkhidmatan.
Selain daripada faktor tersebut, beliau berkata tiga faktor utama lain adalah pemantapan proses, penggunaan teknologi dan kelestarian kewangan.
"Empat faktor ini akan menyumbang kepada sistem penyampaian perkhidmatan awam yang mantap, efisien dan berkesan," katanya.
-- BERNAMA
#kerajaan digital #JPA #kerajaan #E2E #kadar perkhidmatan End-to-End #End-to-End #nilai tambah #Jabatan Perkhidmatan Awam #nilai semula prosedur #penyampaian perkhidmatan kerajaan #pekeliling
;