Kadar peratusan pengiraan cukai taksiran DBKL dikurangkan

Bernama
Disember 19, 2013 23:45 MYT
Cukai taksiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dikurangkan antara satu hingga empat peratus mengikut jenis premis berkuat kuasa 1 Jan ini, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku
Adnan Tengku Mansor.
Beliau berkata kadar peratusan cukai hartanah perdagangan dikurangkan daripada 12 peratus kepada 10 peratus, pangsapuri servis daripada 10 peratus kepada tujuh peratus, kediaman daripada enam peratus kepada empat peratus dan rumah pangsa kos rendah daripada enam peratus kepada dua peratus.
"Cukai taksiran bagi tanah kosong perdagangan dikurangkan daripada 10 peratus kepada tujuh peratus dan tanah kosong kediaman daripada tujuh peratus kepada lima peratus.
"Bagi Kampung Baru, Kampung Sungai Pencala dan Kampung Melayu Segambut Dalam, kadar peratusan cukai diturunkan daripada dua peratus kepada satu peratus manakala bagi lain-lain kampung, bangunan dan tanah kosong adalah antara satu peratus dan dua peratus," katanya dalam sidang media di ibu pejabat DBKL di sini, hari ini.
Justeru, katanya jumlah cukai taksiran yang perlu dibayar oleh pemilik rumah kos rendah dan kos sederhana adalah pada paras paling minimum.
"Untuk rumah kos tinggi, kadarnya tidak melebihi 10 peratus dan bangunan komersial tidak melebihi 35 peratus daripada jumlah cukai taksiran yang dibayar sekarang," katanya.
Tengku Adnan berkata pemilik harta yang telah mengemukakan bantahan secara bertulis kepada DBKL sebelum atau pada 17 Dis 2013, akan tetap dipanggil ke sesi pendengaran bantahan yang akan bermula pada 6 Jan hingga 31 Mac 2014.
"Jika pemilik dapat membuktikan bahawa nilai tahunan yang dicadangkan oleh DBKL terhadap harta mereka adalah tinggi Jawatankuasa Pendengaran Bantahan boleh menimbang untuk mengurangkan nilai itu.
"Ini akan mengurangkan lagi jumlah cukai taksiran yang perlu dibayar oleh pemilik," katanya sambil menjelaskan cukai taksiran adalah berdasarkan nilai tahunan satu-satu hartanah.
Nilai tahunan bermaksud anggaran sewa kasar setahun yang dijangka munasabah diperoleh daripada bangunan itu, sebagai contoh, jika bangunan tersebut ditaksir memperoleh sewa RM1,000 sebulan maka nilai tahunannya adalah RM12,000.
"Insentif dalam bentuk pengurangan jumlah cukai taksiran diberi kepada pemilik harta Orang Kelainan Upaya (OKU), pemilik harta yang merupakan pesara dan pemilik harta yang mendiami sendiri kediaman mereka (tidak menyewakan)," katanya.
Pemilik harta kategori itu diminta mengisi borang permohonan berserta bukti untuk mendapatkan insentif berkenaan.
Tengku Adnan berkata sementara Jawatankuasa Mendengar Bantahan Cukai Pintu mendengar semua bantahan, pemilik harta dibenar menjelaskan cukai taksiran bagi penggal pertama pada Januari 2014 berasaskan jumlah cukai taksiran semasa yang dikenakan pada tahun 2013 iaitu jumlah lama.
"Pelarasan akan dibuat dalam bil cukai taksiran penggal kedua Julai 2014," katanya.
Sehingga hari terakhir bantahan pada 17 Dis lepas, DBKL menerima bantahan daripada kira-kira 80,000 pemilik hartanah daripada keseluruhan 507,000 pemilik hartanah di kawasan DBKL berhubung kadar cukai pintu baharu.
#cukai taksiran #DBKL #Kurang #Tengku Adnan
;