Kadar pengangguran negara dijangka menurun - Saravanan
Firdaus Azil
Ogos 11, 2020 16:41 MYT
Ogos 11, 2020 16:41 MYT
Kerajaan menjangkakan kadar pengangguran negara akan terus mencatatkan trend penurunan untuk bulan-bulan seterusnya, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.
Beliau berkata, jangkaan itu berdasarkan kebenaran untuk beberapa sektor penting kembali beroperasi semula seperti sedia kala.
Namun, tegas Ahli Parlimen Tapah itu, kerajaan mengharapkan agar rakyat di negara ini dapat terus mengikut langkah serta prosedur operasi standard (SOP)yang ditetapkan bagi mengurangkan impak COVID-19 kepada sektor pekerjaan.
“Kita lihat pada bulan Mei kita masih dalam proses Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tapi bulan Jun seterusnya kita dah benarkan syarikat beroperasi. Ini mengurangkan pengangguran jika banding bulan Mei.
“(Trend ini) dijangka berterusan, tetapi ia terpulang kepada rakyat untuk ikut semua langkah dan arahan kerajaan, dalam menjaga keselamatan masing-masing,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PERKESO dan CIDB Malaysia, sempena Program Penjana Kerjaya PERKESO bagi Sektor Pembinaan, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Hadir sama menyaksikan pemeteraian MoU itu ialah Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri
Fadillah Yusof.
Pada 8 Ogos lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kadar pengangguran negara telah menurun sebanyak 0.4 peratus kepada 4.9 peratus pada Jun lalu berbanding 5.3 peratus pada Mei lalu.
Menurut Mustapa, penurunan itu berlaku susulan langkah kerajaan membuka semula sektor penting selepas ditutup ekoran pelaksanaan PKP pada Mac lalu.
Kadar pengangguran negara pada Mei lepas mencatatkan peningkatan kepada 5.3 peratus atau 826,100 orang, berbanding 5 peratus (773,200 orang) pada bulan sebelumnya.
Saravanan ketika menjawab soalan dalam Sidang Parlimen pada 20 Julai lepas, dilaporkan sebagai berkata, antara pekerjaan terjejas teruk adalah dari sektor pelancongan, pembuatan dan perkhidmatan.
#ekonomi
#kadar pengangguran
#kerajaan
#keselamatan
#Kuala Lumpur
#M Saravanan
#Menteri Sumber Manusia
#Parlimen
#Pelaksanaan PKP
#pelancongan
#PENJANA
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#PWTC
#rakyat