Kadar pengangguran Malaysia turun ke paras prapandemik COVID-19
Harits Asyraf Hasnan
Januari 10, 2024 12:12 MYT
Januari 10, 2024 12:12 MYT
KUALA LUMPUR:: Kadar pengangguran pada bulan November turun kepada 3.3 peratus sekali gus menjadikannya ke paras prapandemik COVID-19.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, sejumlah lebih 569.2 ribu orang penganggur direkodkan pada November 2023.
"Prestasi tenaga buruh negara menunjukkan peningkatan pada bulan November 2023, mengisyaratkan pertumbuhan positif ekonomi semasa, dengan pertambahan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala pengangguran terus menurun.
"Oleh itu, bilangan tenaga buruh terus mencatatkan peningkatan pada bulan November 2023, naik sebanyak 0.2 peratus bulan-ke-bulan kepada 17.0 juta orang (Oktober 2023: 16.97 juta orang)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, kadar penyertaan tenaga buruh pada November 2023 kekal pada 70.1 peratus, sama seperti pada bulan sebelumnya.
Selain itu, Mohd Uzir turut menjelaskan, bilangan penduduk bekerja pada bulan November 2023 terus meningkat dengan pertambahan sebanyak 0.2 peratus bulan-ke-bulan, mencecah kepada seramai 16.43 juta orang berbanding bulan sebelumnya berbanding Oktober 2023 iaitu 16.40 juta orang.
Sebaliknya, bilangan penganggur pada November 2023 terus menunjukkan penurunan, dengan pengurangan sebanyak 0.3 peratus kepada 569.2 ribu orang berbanding Oktober 2023 iaitu 570.9 ribu orang.
Kadar pengangguran pada bulan tersebut turun kepada paras prapandemik iaitu 3.3 peratus berbanding 3.4 peratus yang direkodkan pada bulan lalu.
"Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun berkurang sebanyak 0.1 mata peratus kepada 10.6 peratus pada November 2023, mencatatkan seramai 308.5 ribu penganggur belia (Oktober 2023: 10.7%; 313.3 ribu orang).
"Begitu juga, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 6.5 peratus, dengan bilangan penganggur belia seramai 432.0 ribu orang (Oktober 2023: 6.6%; 439.6 ribu orang)," memetik kenyataan itu.
Ujar beliau, walaupun berdepan dengan cabaran global, struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai dan asas yang kukuh telah menyokong pertumbuhan ekonomi yang stabil.
Oleh itu, kata beliau, pasaran buruh negara juga menunjukkan momentum pertumbuhan yang stabil untuk tempoh 11 bulan pada tahun 2023, dengan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja dan pengangguran yang semakin berkurangan sehingga mengembalikan kadar pengangguran ke paras prapandemik.