Kadar pengangguran kekal 3.3 peratus pada Februari - DOSM

Bernama
April 8, 2024 17:45 MYT
Bilangan tenaga buruh pada bulan itu terus merekodkan peningkatan bulan ke bulan, dengan pertambahan sebanyak 0.1 peratus kepada 17.07 juta orang berbanding 17.05 juta orang pada Januari. - Gambar hiasan/Unsplash
PUTRAJAYA: Kadar pengangguran pada Februari kekal 3.3 peratus, mencatatkan bilangan penganggur yang lebih rendah iaitu 567,000 orang, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kedudukan tenaga buruh kekal stabil selaras dengan perkembangan aktiviti ekonomi semasa, merekodkan trend positif yang berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur menurun sedikit.
"Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada bulan itu terus merekodkan peningkatan bulan ke bulan, dengan pertambahan sebanyak 0.1 peratus kepada 17.07 juta orang berbanding 17.05 juta orang pada Januari.
"Kadar penyertaan tenaga buruh bulan Februari kekal pada 70.2 peratus seperti yang direkodkan pada bulan sebelumnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja terus meningkat dengan kenaikan bulan ke bulan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.51 juta orang berbanding 16.48 juta orang pada Januari 2024.
Bagaimanapun katanya, bilangan penganggur pada Februari terus berada dalam trend menurun, dengan penurunan kecil iaitu sebanyak 0.1 peratus kepada 567,000 orang berbanding bulan sebelumnya yang mencatatkan 567,300 orang, yang mencatatkan kadar pengangguran 3.3 peratus seperti pada bulan sebelumnya.
Mengulas lanjut mengenai kedudukan guna tenaga, beliau berkata daripada jumlah penduduk bekerja pada Februari 2024, 75.2 peratus berada dalam kategori pekerja yang merekodkan sedikit peningkatan iaitu sebanyak 0.1 peratus kepada 12.41 juta berbanding 12.39 juta orangpada bulan sebelumnya.
Begitu juga penduduk bekerja sendiri, katanya berada pada trend meningkat, naik sebanyak 0.3 peratus kepada 3.02 juta orang berbanding bulan sebelumnya yang merekodkan 3.01 juta orang.
Dari segi sektor ekonomi, beliau berkata sektor perkhidmatan terus mencatatkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan dan minuman, dan pengangkutan dan penyimpanan.
"Sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian, serta pertanian juga menunjukkan pertambahan dalam bilangan penduduk bekerja pada Februari 2024," jelasnya.
Mohd Uzir berkata sejajar dengan kedudukan ekonomi negara yang stabil, kebanyakan sektor ekonomi diunjurkan berkembang pada 2024, dengan sektor perkhidmatan dan pembuatan akan menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan keseluruhan.
"Di samping itu, permintaan yang semakin meningkat terhadap pekerjaan profesional dalam perkhidmatan perniagaan dan pentadbiran dapat dilihat susulan lebih banyak firma melancarkan platform e-dagang, menggunakan media sosial untuk pemasaran, meneroka analisis data untuk kecekapan, dan mengamalkan sistem automasi dan digital," katanya.
Beliau berkata permintaan domestik yang kukuh, berikutan perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan pada musim perayaan akan datang, juga dijangka menyokong aktiviti pengambilan pekerja, katanya.
Oleh itu, katanya kedudukan pasaran buruh dijangka terus berkembang pada bulan-bulan berikutnya, disokong oleh permintaan yang berterusan terhadap guna tenaga ke arah ekonomi yang lebih baik.
-- BERNAMA
#kadar pengangguran #Jabatan Perangkaan Malaysia #Mohd Uzir Mahidin #tenaga buruh
;