Kadar pengangguran di Malaysia menurun kepada 3.4 peratus pada Jun

Bernama
Ogos 10, 2023 19:05 MYT
Kadar pengangguran di Malaysia menurun sebanyak 0.1 peratus kepada 3.4 peratus pada Jun 2023 berbanding 3.5 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya. -Bernama
PUTRAJAYA: Kadar pengangguran di Malaysia menurun sebanyak 0.1 peratus kepada 3.4 peratus pada Jun 2023 berbanding 3.5 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya, demikian menurut Perangkaan Tenaga Buruh, Jun dan suku tahun kedua 2023 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata bilangan penganggur pada bulan itu juga menurun kepada 581,700 orang berbanding 584,600 orang sebelum itu.
Beliau berkata pasaran buruh Malaysia kekal stabil pada Jun 2023 disumbangkan oleh peningkatan berterusan bilangan penduduk bekerja, manakala penganggur berada pada trend menurun walaupun prospek ekonomi diunjurkan berkembang sederhana.
"Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada Jun 2023 terus mengukuh sebanyak 0.2 peratus merekodkan 16.89 juta orang daripada 16.86 juta pada Mei lepas," katanya.
Mohd Uzir berkata kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada Jun tidak berubah pada 70 peratus, seperti yang dicatatkan pada bulan lepas.
Mohd Uzir berkata bilangan penduduk bekerja pada Jun terus merekodkan trend positif dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.2 peratus kepada 16.31 juta orang berbanding 16.28 juta orang pada bulan sebelumnya.
Daripada jumlah penduduk bekerja itu, 75.4 peratus adalah dalam kategori pekerja yang mencatatkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus kepada 12.30 juta orang pada Jun berbanding 12.29 juta orang pada Mei, katanya.
Beliau berkata bilangan penduduk bekerja sendiri juga terus meningkat dengan pertambahan sebanyak 0.5 peratus atau 2.95 juta pada Jun berbanding 2.94 juta orang sebelumnya.
Mengikut sektor ekonomi, Mohd Uzir berkata penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan kekal dalam trend menaik terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman, perdagangan borong dan runcit serta pengangkutan dan penyimpanan.
Beliau berkata jumlah penduduk bekerja dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian serta pertanian juga menunjukkan peningkatan pada bulan itu.
Beliau berkata bilangan penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari kerja, terdiri daripada 80.3 peratus daripada jumlah penganggur dan kategori ini menurun sebanyak 0.8 peratus kepada 466,900 orang pada Jun lepas daripada 470,400 orang pada bulan sebelumnya.
Daripada jumlah penganggur aktif itu, 61.1 peratus merupakan mereka yang menganggur kurang tiga bulan, manakala 6.6 peratus ialah golongan yang telah lama menganggur lebih setahun, katanya.
Beliau berkata bilangan penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya tiada pekerjaan pula merekodkan peningkatan sebanyak 0.5 peratus kepada 114,800 orang pada bulan itu berbanding 114,200 pada tempoh sebelumnya.
Kadar pengangguran bagi belia berusia 15 hingga 24 tahun pada Jun kekal 11 peratus, mencatatkan 312,400 orang berbanding 313,000 orang sebelum itu, manakala kadar pengangguran bagi belia berusia 15 hingga 30 tahun menurun 0.1 peratus merekodkan 6.9 peratus, dengan bilangannya 446,800 orang berbanding 448,600 orang bagi tempoh sama.
Bagi kumpulan tidak aktif, bilangan penduduk luar tenaga buruh terus menurun iaitu sebanyak 0.02 peratus atau 7.23 juta orang pada Jun, katanya.
"Sebab utama bagi luar tenaga buruh ialah kerja rumah atau tanggungjawab keluarga yang menyumbang 43.5 peratus, diikuti oleh bersekolah atau latihan sebanyak 39.9 peratus," kata beliau.
Mohd Uzir berkata prestasi keseluruhan pada suku kedua 2023, bilangan tenaga buruh terus menunjukkan peningkatan dengan pertambahan 0.5 peratus kepada 16.73 juta orang berbanding 16.65 juta yang dicatatkan pada suku pertama.
Beliau berkata bilangan orang bekerja turut meningkat 0.5 peratus kepada 16.15 juta orang pada suku kedua tahun ini berbanding 16.06 juta orang sebelum itu, manakala bilangan penganggur menurun 0.9 peratus kepada 581,400 orang berbanding 586,900 orang pada suku pertama.
Kadar pengangguran pada suku kedua 2023 kekal 3.5 peratus seperti suku sebelumnya.
"Kedudukan tenaga buruh pada bulan-bulan akan datang dijangka terus berkembang dengan mantap sejajar dengan jangkaan Indeks Peneraju Malaysia yang meramalkan prospek ekonomi yang baik pada bulan-bulan seterusnya," katanya.
-- BERNAMA
#Jabatan Perangkaan Malaysia #Mohd Uzir Mahidin #DoSM #Kadar pengangguran di Malaysia menurun
;