Kadar pengangguran belia turun satu peratus pada suku pertama 2023
Bernama
Jun 7, 2023 17:31 MYT
Jun 7, 2023 17:31 MYT
KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran golongan belia turun satu peratus kepada 10.1 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding 11.1 peratus pada suku pertama tahun sebelumnya.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud berkata kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan belia itu dilihat sebagai fenomena global yang dihadapi oleh kebanyakan negara di seluruh dunia.
"Ia mengambil kira kumpulan umur ini berada di dalam proses transisi daripada alam pengajian kepada pasaran pekerjaan seterusnya melalui proses untuk mendapatkan pekerjaan.
"Untuk itu kerajaan akan terus merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif merentasi kementerian dan agensi bagi membantu mengurangkan kadar pengangguran secara keseluruhannya termasuk dalam kalangan belia di bandar dan di luar bandar," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mengenai usaha kerajaan untuk menangani masalah pengangguran belia kerana pekerjaan tidak setimpal dengan bidang pengajian, kekurangan bakat dan isu kualiti dan kuantiti pekerjaan.
Menurutnya Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut mempergiatkan beberapa program bagi menggalakkan tenaga kerja termasuk kalangan belia antaranya melalui platform MyFutureJobs yang menyediakan lebih satu juta kekosongan jawatan dan 148,000 kekosongan jawatan profesional.
Selain itu, Mustapha berkata sebanyak 1,366 siri karnival kerjaya telah dilaksanakan di seluruh negara dan sehingga kini seramai 21,740 pencari kerja telah berjaya mendapatkan penempatan pekerjaan dengan 78.1 peratus daripadanya adalah golongan belia.
Sementara itu, mengenai prestasi graduan Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) dalam industri, beliau berkata sejumlah 99 peratus majikan berpuas hati dengan kualiti dan prestasi pelajar berdasarkan statistik penilaian majikan yang dijalankan.
"KSM turut mempergiat usaha mengadakan program melalui Talent Corp dengan fokus pembangunan, kebolehpasaran bakat muda negara melalui sinergi dan kerjasama merentasi kementerian, jabatan, agensi kerajaan serta institusi pengajian tinggi," katanya.
-- BERNAMA